Malaysia malukan Thailand, ke final Piala Raja Thailand

Malaysia menempah slot ke final bertemu Tajikistan

KUALA LUMPUR -Malaysia memalukan Thailand selepas menewaskan tuan rumah 5-3 menerusi sepakan penalti pada kejohanan 48th King’s Cup 2022 di Stadium 700th Anniversary of Chiang Mai sebentar tadi.

Terdahulu kedua-dua pasukan terikat 1-1 pada tempoh permainan sebenar.

Pemain bek kiri Malaysia, La’Vere Corbin Ong menyempurnakan hantaran  hantaran Muhammad Safawi Rasid pada minit ke-32 untuk mendiamkan puluhan ribu penyokong tuan rumah.

Malaysia mendominasi permainan di separuh masa pertama dengan beberapa percubaan berbahaya tetapi nasib tidak menyebelahi skuad negara untuk menambah jaringan.

Di separuh masa kedua, Malaysia ditekan dengan serangan balas lawan tetapi penjaga gol Ahmad Syihan Hazmi cemerlang menafikan beberapa percubaan pemain Thailand.

Bagaimanapun Pansa Hemviboon menyamakan kedudukan 1-1 selepas menanduk masuk sepakan percuma rakan sepasukan pada minit ke-95.

Sepakan itu diberikan selepas Nor Azam Azih diperintah keluar padang selepas mengasari lawan .

Corbin Ong sekali lagi menjadi wira apabila menyempurnakan sepakan penalti kelima skuad negara.

Ahmad Syihan Hazmi turut mengagalkan satu sepakan penalti pemain Thailand.

Malaysia akan menentang Tajikistan pada perlawanan akhir di stadium sama pada Ahad ini.

Pada perlawanan pembukaan Tajikistan menewaskan Trinidad dan Tobago 2-1.

RENTAS7

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.