PM terharu kejayaan ‘Rocketman’

Datuk Azizulhasni Awang menyumbangkan pingat perak buat Malaysia

KUALA LUMPUR– Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, merasa sayu melihat tangisan kemenangan Datuk Azizulhasni Awang di atas kejayaan meraih pingat perak dalam acara Keirin basikal trek, Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Beliau berkata, seluruh rakyat Malaysia pastinya amat berbangga dengan aksi dan semangat tidak mudah mengalah yang wira negara itu tunjukkan.

“Saya turut merasa sayu melihat tangisan kemenangan sebentar tadi. Kami di Malaysia amat memahami perasaan serta kesukaran yang anda lalui sepanjang temasya ini.

“Terima kasih saya ucapkan atas segala pengorbanan anda demi negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau turut merakamkan ucapan tahniah kepada wira negara itu.

“Tahniah buat jaguh trek berbasikal negara, Datuk Azizulhasni Awang kerana menghadiahkan pingat perak buat Malaysia menerusi acara Keirin basikal trek, Sukan Olimpik Tokyo, sebentar tadi.

“Kejayaan ini tentunya menambahkan keceriaan buat kontinjen negara sebelum temasya sukan tersohor ini melabuhkan tirainya,” katanya.

Beliau berkata, apa sahaja warna pingat dikutip di sukan terbesar itu memberikan makna cukup signifikan Azizul dan juga negara apabila melihat Jalur Gemilang dinaikkan.

“Syabas juga kepada Menteri Belia dan Sukan, YB Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, barisan kejurulatihan dan seluruh kontinjen Malaysia atas kejayaan ini,” katanya.

Muhyiddin juga menitipkan pesanan kepada Muhammad Shah Firdaus Sahrom.

“Saya ingin katakan yang kegagalan mengiringi Azizulhasni ke peringkat akhir tidak seharusnya mematahkan semangat anda.

“Iltizam dan semangat ‘Demi Malaysia’ yang dipamerkan apabila sanggup mengetepikan kesakitan yang dialami semasa di peringkat saringan dan suku akhir dengan sendirinya membuktikan anda adalah wira yang perlu disanjungi. Terima kasih Shah Firdaus.Tahniah Azizulhasni! Syabas Shah Firdaus!,” katanya.

Pada aksi final, Azizul terpaksa akur untuk mendapat tempat kedua selepas tewas kepada peserta dari Great Britain, Jason Kenny.

RENTAS7

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.