Usir semua generasi Rohingya dari Malaysia – PAMM

Dato' Dr Mustaffa Idrus

ALOR SETAR-Pengerusi Persatuan Angkatan Masyarakat Melayu (PAMM) Kedah, Dato’ Dr Mustaffa Idrus menggesa kerajaan mengambil ketetapan tegas dengan menghantar pulang semua etnik Rohingya yang berada di Malaysia, termasuk generasi ketiga yang dilahirkan di negara ini, sebagai langkah menjaga kedaulatan, keselamatan dan kepentingan rakyat Malaysia.

Menurut beliau, Malaysia tidak seharusnya menjadi destinasi kekal bagi komuniti Rohingya, sebaliknya penyelesaian terhadap nasib mereka perlu dipikul bersama oleh masyarakat antarabangsa melalui mekanisme yang sewajarnya.

Beliau berkata, negara ini telah terlalu lama menanggung pelbagai implikasi akibat kemasukan pendatang tanpa izin, sedangkan masih ramai rakyat Malaysia sendiri yang berdepan kesukaran mendapatkan pekerjaan, kediaman dan menikmati kos sara hidup yang semakin meningkat.

“Sudah tiba masanya kerajaan mengutamakan kepentingan rakyat tempatan berbanding terus menanggung beban sosial, ekonomi dan keselamatan yang dikaitkan dengan lambakan pendatang asing tanpa izin,”katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan memperkukuhkan kawalan di semua pintu masuk negara, termasuk sempadan darat dan perairan, supaya sebarang cubaan memasuki Malaysia secara haram dapat dibendung dengan lebih berkesan.

Beliau turut mencadangkan agar aset penguat kuasa laut dan darat dipertingkatkan bagi memastikan bot atau tongkang yang membawa pendatang tanpa izin tidak dapat menceroboh perairan negara.

Menurut Dato’ Mustaffa, Malaysia juga wajar mengkaji pendekatan yang dilaksanakan oleh beberapa negara jiran dalam mengawal kemasukan pendatang tanpa izin, dengan mengambil kira kepentingan keselamatan dan kedaulatan negara.

Dalam masa sama, beliau berpandangan bahawa isu Rohingya bukan lagi tanggungjawab Malaysia semata-mata, sebaliknya memerlukan penyelesaian menyeluruh oleh masyarakat antarabangsa, termasuk agensi-agensi berkaitan.

“Sebarang tindakan berkaitan penempatan atau penghantaran pulang hendaklah dilaksanakan mengikut lunas undang-undang serta menghormati komitmen antarabangsa yang berkaitan.

“Kerajaan tidak boleh berkompromi terhadap sebarang bentuk pencerobohan sempadan kerana ia boleh memberi kesan kepada keselamatan negara serta kesejahteraan rakyat.,”katanya.

Beliau berharap kerajaan Persekutuan mendengar suara rakyat yang mahukan dasar imigresen lebih tegas, telus dan berkesan demi menjamin masa depan negara.

“Malaysia ialah tanah air rakyat Malaysia. Kepentingan, kebajikan dan keselamatan rakyat mesti sentiasa menjadi keutamaan dalam setiap dasar yang digubal oleh kerajaan,” katanya.

 

RENTAS7

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.