Pertemuan dua sahabat penuh emosi

BALING- Mengalir air mata seorang pesakit strok saat diziarahi rakan baiknya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kupang.

Ahmad Kassim,68, tidak dapat mengawal emosi ketika dikunjungi Brigadier (B) Datuk Najmi Ahmad, di rumahnya, di Kampung Air Kepar, hari ini.

Isteri, Yon Ali,58, berkata, suaminya terlantar sakit di rumah lebih tiga tahun lalu.

“Siapa sahaja yang menziarahi, memang dia akan sedih. Sejak suami sakit, dia tidak mampu lagi melakukan pekerjaan.

“Masuk tahun ini dah lebih tiga tahun suami sakit. Pendapatan kami berdua bergantung kepada bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM200,”katanya kepada Rentas7.com, hari ini.

Ahmad Kassim kanan tidak dapat menahan sebak ketika berbual dengan Najmi dua kiri

Katanya, dia mempunyai enam anak berusia 27 hingga 40 an dengan empat daripadanya telah berkahwin.

Menurutnya, anak-anak yang telah berkahwin tidak mempunyai pendapatan yang stabil dan mempunyai tanggungan terhadap keluarga masing-masing.

“Anak sulung dan kedua belum berkahwin dan tinggal bersama Makcik.

“Tapi yang sulung tu tak waras sebab pernah kemalangan, anak kedua hanya kerja kampung,”katanya yang menguruskan segala keperluan suami.

Sementara itu, Najmi Ahmad berkata, pertemuan hari ini amat menyentuh perasaannya.

Menurutnya, keadaan Ahmad yang terlantar di atas tilam dan bantal lusuh menggambarkan kesusahan yang ditanggung keluarga berkenaan.

“Hasil ziarah, keluarga ini perlu dibantu lebih lanjut pihak berwajib. Saya akan panjangkan perkara ini kepada pihak berkaitan.

“Saya juga akan menyediakan keperluan- keperluan lain kepada pesakit supaya dirinya lebih selesa,”katanya.

Terdahulu, Najmi menyumbangkan barangan keperluan dapur, kain pelekat, dan toto kepada keluarga berkenaan.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.