Permohonan NTIS kini dibuka

Khairy Jamaluddin

PUTRAJAYA– Syarikat-syarikat pemula teknologi kini boleh mula memohon untuk menyertai National Technology & Innovation Sandbox (NTIS) berjumlah RM100 juta menerusi laman web rasmi NTIS, https://sandbox.gov.my.

NTIS adalah sebahagian daripada Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) yang diumumkan oleh YAB Perdana, Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan dilihat bakal memacu Malaysia ke arah negara berteknologi canggih dan berpendapatan tinggi melalui penyelesaian yang didorong oleh inovasi.

“Melalui NTIS, Kerajaan melalui Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menggalakkan agar projek-projek inovasi tempatan dapat dihasilkan di samping bagi mempercepatkan pembangunan penyelesaian teknologi
baharu.

“NTIS dilihat mampu menyelesaikan permasalahan berkaitan masyarakat seperti pengangguran meningkat, kebergantungan tenaga kerja
asing, ketahanan rantaian bekalan tempatan, keselamatan makanan dan
kesihatan serta kepincangan infrastruktur digital,” kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata, bidang-bidang fokus utama adalah isu berkaitan COVID-19
seperti penurunan KDNK, kenaikan kadar pengangguran, penurunan kepenggunaan dan perbelanjaan swasta, kebergantungan tinggi terhadap
tenaga buruh asing dan keperluan peningkatan kemahiran bakat.

“Kerajaan percaya bahawa isu-isu ini dapat ditangani dengan menggunakan
teknologi yang lebih maju dalam sektor utama seperti teknologi perubatan,
pembuatan, pertanian, pendidikan serta pelancongan dan perjalanan,” ujar
Khairy Jamaluddin lagi.

NTIS diterajui oleh MOSTI dengan MaGIC sebagai sekretariat utama dibantu
oleh Technology Park Malaysia (TPM), MIMOS Berhad, Malaysia Technology
Development Corporation (MTDC) dan Futurise Sdn. Bhd.

“Sebagai pusat koordinasi dan fasilitasi penyelesaian nasional, NTIS mampu memacu pembangunan penyelesaian inovatif daripada peringkat penyelidikan
dan pembangunan (R&D) kepada peringkat yang sedia untuk dikomersialkan.

Beberapa contoh projek perintis yang telah dikenalpasti di bawah NTIS
termasuk FARMO (Farm Assist Robot for Multi Operation) Robot yang digunakan di sektor Pertanian, Robot Rehabilitasi untuk hospital, Robot Linear untuk Aplikasi Industri, dan banyak lagi,” kata YBrs. Puan Dzuleira Abu Bakar,
Ketua Pegawai Eksekutif MaGIC, salah sebuah agensi penyelaras NTIS.

Terdapat empat (4) jenis skim pembiayaan:

1. Single Site Sandbox – Pembiayaan maksimum sebanyak RM250,000 dalam bentuk Geran sepenuhnya untuk membiayai kos penyelesaian sandbox di lokasi tunggal.

2. Multiple-Site Sandbox – Pembiayaan maksimum sebanyak RM500,000 dalam bentuk Geran Separa (70%) untuk membiayai kos penyelesaian penyelesaian sandbox di pelbagai lokasi.

3. Pengkomersialan – Pembiayaan maksimum RM4 juta dalam bentuk
Dana Hibrid; Geran dan Nota Janji Boleh Ubah untuk membiayai kos pengkomersialan penyelesaian sandbox

4. Padanan Dana bersama-sama Pelabur/Syarikat Korporat – Peruntukan
maksimum RM15 juta sebagai Dana Padanan dengan Pelabur dan
Syarikat Korporat.

Instrumen pembiayaan akan tertakluk kepada persetujuan antara MTDC dan Pelabur serta Syarikat Korporat yang
terlibat.

Untuk maklumat lanjut dan permohonan, sila layari laman web:
https://sandbox.gov.my atau e-mel: ntis.enquiries@sandbox.gov.my.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.