PATANI: Jalan lengang penuh misteri

PATANI-Jalan menghubungkan Kampung Kelewet dengan Pekan Napradu tidak lagi digunakan pengguna jalan raya seperti kebiasaaannya.

Sejak 2004 jalan itu semakin sunyi daripada laluan pengguna dan ia dipercayai mempunyai kaitan dengan konflik berdarah selatan Thailand.

Siang atau malam, jalan itu sepi daripada laluan kenderaan penguna, tiada siapa yang sanggup melaluinya melainkan penduduk kampung berdekatan atau mereka yang mempunyai urusan penting.

Bagi penduduk di kawasan lain, jalan sepanjang kira-kira 10 kilometer itu bukan sahaja boleh membahayakan diri, tetapi mampu meragut nyawa jika dilalui bukan pada masanya.

Tinjauan dilakukan di jalan berkenaan mendapati ia begitu lengang daripada laluan pengguna kenderaan.

Apa sebenarnya yang berlaku?

Penduduk, Saluma Ismail,50, berkata, jalan yang menghubungkan kampung Kelewet ke beberapa kampung lain termasuk pekan sudah lama tidak digunakan terutamanya orang luar.

“Tidak ramai yang menggunakan jalan itu kecuali penoreh getah dan penduduk berhampiran, jika orang luar daripada kampung ini memang takut nak guna sebab jalan itu sunyi walaupun siang.

Saluma Ismail

“Kiri dan kanan yang ada hanyalah kebun getah, kampung seterusnya terletak kira-kira satu kilometer, itupun rumah penduduk tidak banyak,”katanya.

Saluma berkata, punca sebenar laluan itu mulai lengang adalah disebabkan pernah berlaku kes pembunuhan.

“Dua tahun lalu ada seorang penunggang motosikal mati ditembak, pembunuhnya tidak diketahui siapa dan hingga sekarang belum ditangkap,”katanya.

Polis tak berani lalu

Penduduk yang hanya ingin dikenali sebagai Manaf Hassan, 57, berkata, pasukan polis juga pernah membatalkan hasrat melalui jalan itu ketika mengejar perompak.

“Pernah pasukan polis mengejar perompak tetapi apabila sampai di persimpangan masuk jalan itu, mereka berpatah balik,”katanya.

Katanya, sebab polis mengambil keputusan untuk berpatah balik hingga kini tidak diketahui.

“Kejadian itu berlaku lebih kurang tiga tahun lalu, peragut itu tidak ditangkap walaupun pasukan polis sudah mengejarnya, mereka seoalah-olah takutkan sesuatu untuk masuk di jalan itu.

Penduduk mendakwa anggota polis tidak berani melalui jalan tersebut, apa punca sebenarnya?

“Sehingga sekarang penduduk juga tidak tahu punca sebenar perompak itu dibiarkan bebas, kami juga tidak tahu sebab polis tidak masuk jalan itu,”katanya.

Manaf berkata, terdapat satu papan tanda di laluan itu dicat dengan tulisan Bahasa Melayu berwarna merah.

“Tulisan itu ditulis oleh pihak yang tidak diketahui siapa, tetapi ia mungkin daripada kumpulan yang ingin menuntut kemerdekaan,”katanya.

Meninjau lebih dekat, wartawan mendapati warna merah itu telah pudar menunjukkan “mesej” itu telah lama ditulis oleh individu terbabit.

Warna tulisan di papan berkenaan semakin pudar

Ketika ditanya kaitan tulisan cat merah itu dengan kumpulan pejuang, Manaf enggan berbicara lanjut.

Katanya, pergolakan di selatan Thailand bukan perkara yang dibincangkan secara terbuka, apatah lagi menyalurkan maklumat kepada orang luar.

“Saya minta maaf sebab tidak boleh cakap soal ini, di sini bukan seperti di Malaysia, amat bahaya untuk sembang perkara seperti ini secara terbuka.

“Sudah ramai yang mati apabila cuba untuk ingin tahu dan bertanya tentang setiap perkara yang berlaku, saya tidak mahu umur pendek,”katanya.

Tidak akan guna waktu malam

Penduduk, Ismail Awang,55,berkata, sebagai penduduk, dia sudah biasa menggunakan jalan itu walaupun sunyi.

“Saya sudah terbiasa dengan suasana jalan di sini, jika waktu siang tiada perasan takut walaupun jarang ada orang yang lalu,”katanya.

Bagaimanapun Ismail berkata, dia sesekali tidak akan melalui jalan itu pada waktu malam.

“Jika waktu malam keadaannya lebih sunyi dan cukup gelap kerana tiada langsung lampu jalan, saya sendiri tidak akan melaluinya melainkan benar-benar ada urusan yang tidak dapat dielakkan,”katanya.

Krisis selatan Thailand kini semakin meruncing dengan angka korban di sana dilaporkan mencecah 6,500 nyawa tidak berdosa.

Pertelingkahan di antara kerajaan dan kumpulan pejuang menyebabkan kehidupan masyarakat di tiga wilayah bergolak tidak bebas seperti biasa.

Hingga kini, jalan sepanjang kira-kira 10 kilometer itu kekal misteri tanpa sebarang jawapan kukuh.

Tamat

 

*Artikel ini ditulis oleh wartawan tempatan (Malaysia) pada Disember 2016

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.