Imam rayu dibenarkan solat Jumaat namun bersyarat..

Shazili berharap cadangan itu dipertimbangkan pihak kerajaan

KUALA LUMPUR– Kerajaan dicadangkan supaya membenarkan solat Jumaat namun dengan syarat dan kawalan yang ketat.

Imam, Ahmad Shazili Abdullah (gambar) yang juga pendakwah bebas berkata, sebagai imam beliau amat merayu supaya sekurang-kurangnya solat Jumaat dibenarkan bagi masjid-masjid utama.

Ianya dibuka paling kurang kepada imam, bilal, siak, pengerusi, ajk dan ahli biro-biro pengimarahan masjid.

“Cukupkan 40 orang agar solat Jumaat dapat didirikan. Sebelum masuk pintu masjid, mereka diarah beratur dan setiap orang di periksa suhu dan dialirkan ‘sanitizer’ (pembasmi kuman),”katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.

Bagi hematnya, ruang masjid yang luas tidak memberikan masalah untuk mengisi 40 orang jemaah yang duduk dengan jarak berjauhan.

“Selesai solat semua tetamu Allah berselawat tanpa bersalaman dan terus beransur pulang.

“Begitulah sekilas pandangan dan cadangan dari hamba yang faqir, kerdil lagi hina di sisi Allah yang Maha Kuasa Lagi Maha Bijaksana.

“Mudah-mudahan doa yang dipanjat semasa khatib membaca khutbah sebagai ‘frontliner’ dengan Allah, dapat membuka pintu langit seluasnya!

“Malah setulus doa yang diaminkan terangkat ke penjuru langit yang terhujung, lantas menjemput hadirnya rahmat jua kasih sayang Allah Azza Wa Jalla Yang Maha Bijaksana,”katanya yang mempunyai Ijazah Kepujian dalam jurusan Dakwah Islamiah dari Universiti Al-Azhar Mesir.

Cadangan Shazili disertakan dengan contoh tiga pasaraya dan sebuah pasar besar yang ditinjaunya di mana setiap pengunjung diperiksa suhu badan dan disediakan cecair pembasmi kuman.

Ahmad Shazili yang juga pernah berkhidmat sebagai Imam 1 Masjid Asy-Syakirin KLCC berkata, beliau sebagai rakyat yang menghuni tanah air tercinta bagaimanapun tetap redha, akur dan patuh atas apa jua apa jua keputusan pihak berwajib.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.