PN akan memperkasakan ekonomi rakyat Kedah- Nasir Idris

Abd Nasir kiri bersama ADUN Lunas (tengah) dan ADUN Kupang

BALING– Sektor ekonomi Kedah akan dipacu lebih cemerlang di bawah pentadbiran Perikatan Nasional (PN).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayu, Abd Nasir Idris berkata, peralihan kuasa daripada Pakatan Harapan (PH) kepada Perikatan Nasional (PN) memberikan perkembangan yang positif.

“Kita nampak satu perubahan dan kekuatan orang Melayu khususnya dalam mengurus dan mentadbir negeri. Sebelum ini kita lihat seoalah-olah pihak lain cuba menguasai dalam menguruskan negeri ini.

“Jadi dengan kemenangan PN yang didokong oleh PAS, UMNO dan Bersatu, Insha ALLAH kita akan memperkasakan lagi maruah dan ekonomi orang Melayu khususnya di Kedah,”katanya kepada Rentas7.com hari ini.

Beliau berkata, semua pemimpin PN baik di bandar mahupun luar bandar diharap dapat berkerjasama lebih erat bagi memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Dalam pada itu, Abd Nasir berkata, kebajikan rakyat sentiasa diutamakan dan beliau berharap dengan perubahan pucuk pimpinan negeri, DUN Bayu akan diberikan perhatian yang lebih.

“DUN Bayu ini daripada segi geografi dan keluasannya agak luas serta mempunyai jumlah penduduk yang ramai.

“Kita mahu peruntukan-peruntukan dapat ditambah supaya pengurusan kebajikan dan masalah rakyat dapat diselesaikan. Selain itu kita mahu menyelaraskan wakil-wakil kita di peringkat kampung,”katanya.

Menurutnya, antara kebajikan rakyat yang mahu diselesaikan ialah isu bekalan air bersih.

“Sumber air ialah satu bekalan yang penting kepada seluruh rakyat Kedah, ia tidak dapat tidak menjadi tanggungjawab kepada kerajaan untuk menyelesaikannya.

“Selain itu, DUN Bayu juga sering dilanda banjir kilat dan masalah ini akan diberikan perhatian untuk diselesaikan.

“Usaha untuk mengatasi masalah banjir perlu dilakukan secara lebih serius iaitu dengan mendalamkan sungai, mengukuhkan tebing sungai membetulkan aliran sungai dan sebagainya,”katanya.

Semalam, ketua pembangkang, Muhammad Sanusi Md Nor mengumumkan pembentukan kerajaan Perikatan Nasional (PN) di Kedah.

Pembentukan itu selaras dengan sokongan 15 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada PAS, (2) UMNO, (2) bebas yang juga bekas ADUN PKR serta 4 daripada Bersatu.

Menteri Besar PN Kedah dijangka mengangkat sumpah di Istana Anak Bukit sebelum 18 Mei sekaligus membentuk kerajaan negeri secara rasmi.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.