Pasir Gudang wajib dikosongkan

KUALA LUMPUR- Ketika pencemaran kimia di Pasir Gudang, Johor semakin membimbangkan, banyak kilang di kawasan berkenaan masih beroperasi seperti biasa.

Sikap ambil mudah pengurusan kilang pastinya mendedahkan ribuan nyawa pekerja kepada risiko nyawa.

Jurucakap, Diskusi Islam Nusantara (DIN), Mohd Zukhi Ghazali berkata, berhadapan situasi ini, kerajaan perlu melakukan keputusan tegas dan cepat.

Menurutnya, langkah penutupan kilang termasuk premis lain boleh terus dilakukan tanpa perlu menunggu pengisytiharan darurat.

“Dalam keadaan begini, kerajaan boleh hentikan operasi kilang serta merta.

“Ini soal nyawa manusia, ambil tindakan kepada kilang-kilang mahupun premis yang masih degil,” katanya.

Beliau berkata, untuk tidak cetuskan panik, penduduk sewajar dipindahkan secara berperingkat ke kawasan selamat dan disusuli pengumuman darurat.

“Langkah pertama wajib diambil kerajaan ialah mengosongkan penduduk dari kawasan Pasir Gudang tanpa perlu membiarkan jumlah mangsa terus meningkat.

“Kemudian disusuli dengan ujian terhadap alam sekitar. Tahap indikator udara paling penting diambil kira kerana ia merupakan faktor pembawaan pencemaran paling pantas.

“Kebenaran pulang boleh dibuat setelah kawasan tercemar serta lokasi lain dalam daerah itu benar-benar selamat,”katanya.

Katanya, sikap tunggu dan lihat akan membawa risiko lebih besar.

“Apabila kita terus membiarkan penduduk di kawasan pencemaran,  risiko besar adalah lebih ramai akan terhidu bahan kimia itu.

“Lebih 500 orang terima rawatan awal, 9 di ICU dan 166 di wad seperti dilaporkan media ialah angka cukup tinggi,”katanya

Mohd Zukhi berkata, peningkatan jumlah mangsa pencemaran kimia membuktikan kerajaan Johor gagal bertindak.

“Sekiranya berlaku perang kimia dengan keadaan kerajaan lewat bertindak, anda boleh bayangkan bagaimana nasib rakyat?,”katanya.

Kerajaan tidak perlu tunggu jumlah mangsa terus meningkat (kredit Fb Kelantanase)

Tegasnya, pemilik kilang, pemimpin, Jabatan Alam Sekitar serta semua terlibat dengan pencemaran perlu disiasat.

“Jangan ada sesiapa pun terlepas, pastikan semua terlibat dikenakan hukuman berat sekiranya terbukti bersalah,”katanya.

Sumber: Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.