PAMM tuntut kes bayi Adam di Rumah Bonda disiasat semula

Mustaffa berkata kes kematian bayi Adam mencurigakan dan perlu disiasat semula.

SUNGAI PETANI-Persatuan Angkatan Masyarakat Melayu (PAMM) Negeri Kedah menuntut kertas siasatan membabitkan kematian baby sindrom down bernama Adam di Pertubuhan Kebajikan Rumah Bonda Kuala Lumpur dibuka semula.

Pengerusinya, Datuk Mustaffa Idrus berkata, pihaknya yakin terdapat unsur mencurigakan terhadap kes kematian bayi adam berusia 10 bulanĀ  pada Mei 2020 selepas pendedahan dibuat seorang individu di media sosial.

“Pihak yang membuat pendedahan membuat locus standi yang kuat untuk polis menyiasat semula kes kematian baby Adam. Laporan polis pun telah dibuat pihak berkenaan

“Bayi istimewa itu meninggal dalam keadaan kurus kering, jauh berbeza dengan fizikalnya yang sihat sewaktu dihantar ke sana,”katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata, kaitan di antara kes tersebut dengan pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali tidak boleh dibiarkan begitu saja.

“Apabila kita membaca tangkap layar posting pengasas Rumah Bonda yang tidak mahu bedah siasat dilakukan, ia sesuatu yang sangat mencurigakan. PAMM mahu kes ini segera disiasat demi keadilan,”katanya.

Mustaffa berkata, beliau yakin penderaan menimpa adik Bella sebenarnya asbab untuk keadilan yang ‘tersembunyi’ dibuka semula.

“Sesuatu perkara yang berlaku mempunyai hikmahnya, mungkin ALLAH menghantar Bella untuk kita semua buka mata terhadap kes Adam.
Keadilan untuk Adam dan Bella perlu ditegakkan.

“PAMM menyeru supaya pelbagai pihak tampil membuat laporan polis supaya Siti Bainun disiasat dan menerima hukuman jika didapati bersalah,”katanya.

Tegas Mustaffa, individu seperti Siti Bainun tidak kebal sekalipun dilindungi 10 peguam termasuk mungkin dilindungi pengaruh tertentu.

“Tiada yang kebal dalam dunia ini, apatah lagi dengan manusia. Kamu pengasas, atau peguam atau ada pangkat dan harta sekalipun, semuanya tidak berguna apabila kamu sudah berdepan dengan ‘keadilan,”katanya.

RENTAS7

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.