Shafie menderhaka kepada Agong- pengalisis politik

KUALA LUMPUR-Tindakan Ahli Parlimen Semporna, Datuk Seri Shafie Apdal membuat usul kepada Speaker Dewan Rakyat bagi mencabar keabsahan pelantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri jelas tindakan derhaka kepada Yang di-Pertuan Agong.

Pengalisis politik, Dr Kamarul Zaman Yusof berkata, hal ini dibuktikan dengan penolakan usul berkenaan oleh Speaker Dewan Rakyat.

“Seperti saya jangkakan, Speaker Dewan Rakyat baru sahaja menolak usul percaya terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad yang cuba dikemukakan oleh Datuk Seri Shafie Apdal atas alasan bahawa ia mempertikai kuasa Yang Di-Pertuan Agong.

“Dalam kata lain, Speaker Dewan Rakyat sendiri sudah sahkan bahawa Shafei Apdal sudah derhaka.Mohon dibuat laporan polis,”katanya dalam satu kenyataan di Facebooknya semalam.

Kamarul dalam posting berbeza sebelum itu berkata, Shafie menderhaka kepada Agong walaupun isi kandungan notis berkenaan menyebut tidak berniat berbuat demikian.

“Walaupun dalam notis usulnya bertarikh 4 Mei 2020, Datuk Seri Shafie Apdal, menyebut beliau tidak berniat untuk menentang kuasa melantik Perdana Menteri oleh Yang Di-Pertuan Agong,.

“Tetapi kandungan usulnya bahawa Tun Dr Mahathir Mohamad mempunyai keyakinan majoriti Ahli-Ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri tatkala Yang Di-Pertuan Agong telah pun melantik Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri, adalah satu penderhakaan yang nyata kepada Yang Di-Pertuan Agong.

“Mana ada dalam dunia ini dibuat usul kepercayaan sebagai Perdana Menteri kepada seorang Ahli Parlimen yang bukan Perdana Menteri?,” katanya.

Beliau berkata, melihat istilahnya saja pun rakyat sudah tahu bahawa usul kepercayaan atau usul ketidakpercayaan sebagai Perdana Menteri hanya boleh dibuat kepada seorang Perdana Menteri.

“Walaupun jika notis usul ini difailkan dalam tempoh 14 hari sebelum sidang diadakan sekalipun, ia adalah sesuatu yang tidak boleh dilakukan kerana bercanggah dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

“Apatah lagi bila notis telah dikemukakan oleh Setiausaha Dewan Rakyat bahawa sidang pada 18 Mei ini hanya akan membahaskan usul kerajaan sahaja.

“Mabuk atau apa Datuk Seri Shafie Apdal ini?,”katanya.

Terdahulu, Speaker Dewan Rakyat melalui surat bertarikh 5 Mei menolak usul permohonan meminta izin majlis membawa satu usul dan mengemukakan resolusi untuk membuat ketetapan bahawa Ahli Yang Berhormat Langkawi mempunyai keyakinan majoriti Ahli-Ahli Yang Berhormat Dewan Rakyat di bawah peraturan Mesyuarat 26 (1) dan dibaca bersama peraturan mesyuarat 27 (3) dalam peraturan-peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat.

Kenyataan surat kepada Shafie Apdal itu menjelaskan tindakan usul berkenaan tidak selari dengan perkara 43 Perlembagaan Persekutuan kerana ia mempertikai kuasa Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dalam urusan pelantikan jawatan Perdana Menteri.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.