PAMM sokong campur tangan tentera tangani isu Rohingya

Dato' Dr Mustaffa Idrus

ALOR SETAR-Pengerusi Persatuan Angkatan Masyarakat Melayu (PAMM) Negeri Kedah, Dato’ Dr Mustafa Idrus, menyokong cadangan rakyat supaya Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dilibatkan secara lebih langsung dalam menangani isu pelarian Rohingya di negara ini.

Beliau berkata, penguatkuasaan terhadap kemasukan dan keberadaan pelarian semakin lemah sehingga menimbulkan kebimbangan serta tekanan dalam kalangan rakyat.

“Kerajaan semakin gagal menangani isu ini secara berkesan. Rakyat semakin tertekan apabila isu pelarian tidak ditangani dengan tegas dan menyeluruh.

“Sudah tiba masanya peranan tentera dipertimbangkan bagi membantu mengambil alih pengurusan keselamatan dan kawalan di kawasan yang berdepan masalah serius berkaitan pelarian,” katanya.

Menurut beliau, penglibatan ATM bukan bermaksud mengambil alih sepenuhnya fungsi agensi awam, sebaliknya perlu dilihat sebagai langkah memperkukuh aspek keselamatan negara, kawalan sempadan dan penguatkuasaan apabila keadaan memerlukan.

Katanya, isu pelarian Rohingya bukan lagi semata-mata isu kemanusiaan, tetapi turut mempunyai implikasi terhadap keselamatan, sosial dan kesejahteraan rakyat.

“Kerajaan perlu mendengar suara rakyat. Jika rakyat merasakan penguatkuasaan semakin lemah dan keselamatan mereka terancam, kerajaan tidak boleh terus berdiam diri.

“Pendekatan lebih tegas perlu diambil. Askar perlu diberikan peranan yang lebih besar sekiranya itu menjadi jalan terbaik untuk memastikan keselamatan negara dan kepentingan rakyat terus terpelihara.

“Rakyat semakin muak dan tertekan. Hanya askar yang rakyat lihat dapat atasi masalah besar sedang berlaku ini,”katanya.

Beliau pada masa sama menggesa kerajaan supaya mengambil tindakan menyeluruh terhadap isu kemasukan pendatang tanpa dokumen serta memastikan kawalan sempadan negara diperkasakan.

 

RENTAS7

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.