Pusat Rawatan Al Mashood rawat saka dan sihir

Dr Syeikh Nasir (tengah) bersama sahabat perawat Al Mashood sedia membantu orang ramai keluar dari masalah penyakit dialami

Niat murni membantu ramai pesakit dengan kaedah perubatan Islam telah menjentik hati sekumpulan lelaki untuk berganding bahu di bawah satu bumbung.

Maka dari situ, lahirlah Pusat Rawatan Al Mashood yang dibuka di Taman Chempedak Indah Guar Cempedak Kedah.

Diterajui oleh empat perawat utama daripada tujuh keseluruhanya, Pusat Rawatan Al Mashood telah membantu ramai pesakit untuk sembuh khususnya daripada gangguan sihir dan saka.

Mereka antaranya terdiri daripada Dr Sunan Mohamad Zaki Mustafa Masoh, Ustaz Muhammad Husamuddin Mayakee Masoh, Ustaz Sunan Mohd Najib Mohd Yusof, Sunan Nazri Abdulllah, Dr Syeikh Abdulllah Ali Al Yamani dan Rosli.

Syeikh Dr Nasir kiri sedang merawat seorang pemuda yang disihir dengan kuat

Meskipun majoriti perawat berkhidmat dalam bidang profesional tetapi mereka tetap korbankan masa, Wang dan tenaga untuk berbakti kepada masyarakat menerusi bidang perubatan Islam.

Pengerusi Pusat Rawatan Al Mashood, Dr Mohd Zaki Mustafa Mansoh atau lebih dikenali dengan Syeikh Dr Nasir berkata, pusat berkenaan dibuka pada 11 November 2021.

“Semua perawat di sini adalah seramai tujuh orang tetapi yang selalu di sini hanya empat orang.

Syeikh Dr Nasir sedang merawati seorang warga emas

“Tiga lagi perawat akan datang sekiranya pesakit yang kami ubati itu mempunyai gangguan kritikal,”katanya yang juga Pensyarah Bahasa Arab dan Balagah di Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS).

Beliau berkata, setiap pesakit yang datang akan ditanya tentang sakit atau gangguan dihadapi.

“Perawat akan melihat sendiri aduan atau masalah dihadapi pesakit sebelum mengenal pasti kaedah rawatan yang diperlukan,”katanya.

Beliau berkata, bagi pesakit wanita, mereka diwajibkan datang bersama mahram.

“Kita juga merawat pesakit di Pusat Rawatan Al Mashood itu sendiri atau di rumah pesakit mengikut keselesaan mereka,”katanya.

Pusat Rawatan Al Mashood dibuka setiap hari bermula jam 9 malam.

Tidak hanya memfokuskan rawatan terhadap sihir dan Saka, Pusat Rawatan Al Mash turut menawarkan rawatan bagi penyakit kanser, kuning bayi, bekam angin, urutan, anak malas belajar dan sebagainya.

Rawatan-rawatan disediakan di Pusat Rawatan Al Mashood

Berkongsi lanjut, Dr Syeikh Nasir berkata, para perawat Al Mashood tidak hanya berguru dengan seorang guru.

Sebaliknya beliau berkata, para perawat telah mendalami ilmu perubatan Islam dengan ramai guru bertauliah.

“Antara guru kami ialah Sunankalijaga Tobib Adam iaitu keturunan Wali Songo, tuan guru dari Titi Haji Deris dan ramai lagi.

“Bagi saya sendiri belajar dari beberapa orang guru di Mekah dan Masjidil Haram ketika bersekolah di sana,”katanya.

Beliau turut berguru dengan Syeikh Yassin Al Fadani, Syeikh Muhammad Al Habib Al Maliki serta Almarhum Dato’ Mursyid Diraja al Allamah Syeikh Haji Tajudin Syeikh Abdul Rahman.

Keilmuan Syeikh Nasir dalam bidang perubatan Islam diperkukuhkan lagi dengan menuntut ilmu dari ayah sendiri.

Setelah ayahnya meninggal dunia, Syeikh Nasir berketurunan Patani Darussalam dibimbing datuk saudara sendiri, Haji Husin Qasim iaitu seorang Tuan Guru Pondok Al-Nadhoh Kerasak Patani.

Saka dan Sihir

Syeikh Nasir berkata, Pusat Rawatan Al Mashood banyak menerima pesakit yang menderita saka dan sihir

“Antara sihir dan saka, sihir lebih mencabar untuk diubati kerana kebiasaanya ia memerlukan beberapa kali rawatan.

Menurutnya, antara faktor sihir sukar diubati kerana tukang sihir mengubah teknik selepas mangsa mereka diruqyah.

“Bomoh pun ada teknik dia. Kadang kala bomoh yang menzalimi pesakit itu menyusun ramai bomoh untuk mengenakan si pesakit.

“Jadi kami di sini perlu menyelesaikan satu demi satu masalah sehingga tahap kami memerangi tok bomoh itu sendiri,”katanya.

Dr Nasir berkata, kebanyakan kes dapat diselesaikan berikutan Pusat Rawatan Al Mashood mempunyai ramai perawat.

Syeikh Dr Nasir bersama perawat sedang mengubati pesakit saka dari Pulau-Pinang

Menurutnya, secara tidak langsung ia menjadikan satu kelebihan kepada mereka untuk membantu pesakit.

Beza Saka dan Sihir

Beliau berkata, petanda boleh dikesan jika seseorang itu terkena sihir atau saka adalah mereka akan sering sakit tanpa sebab.

“Kebiasaanya sakit itu dirasai bahagian kepala, belakang bahu, dada, perut dan tempat kemaluan serta kaki kiri dan kaki kanan.

Bercerita tentang pengalaman merawat gangguan jin, Syeikh Dr Nasir berkata, makhluk ghaib itu mempunyai pelbagai jenis sikap dan perwatakan.

“Ada jin yang cerdik dan tidak cerdik. Ada juga jin seperti budak dan bermacam jenis lagi.

“Ada jin yang kita baca ayat suci al-Quran hanya diam, ada yang terus keluar dari tubuh manusia, ada yang memberontak dan ada yang menegur kesalahan ayat suci dibaca.

Syeikh Dr Nasir dan para perawat sedang mengubati seorang pesakit dari Kuala Ketil yang terkena sihir, wanita berkenaan telah menderita sebelumnya selama setahun

“Ada jin yang kata nak keluar bila kita rawat pesakit, tapi dia tipu.

“Kadang-kadang ada dalam tubuh pesakit sampai 10 ekor jin, kadang-kadang 30 ekor pun ada dalam badan.

“Jin yang tak kuat akan keluar dan boleh jadi akan masuk semula dalam tubuh pesakit.

“Bagi jin yang kuat tak akan keluar melainkan diugut untuk disembelih dan sebagainya,”katanya.

Bagi memastikan jin yang sudah keluar tidak menggangu semula pesakit, Syeikh Dr Nasir berkata, perawat Al Mashood tidak akan membiarkan makluk tersebut keluar begitu sahaja.

Sebaliknya katanya, ia dikunci sebelum dikeluarkan oleh perawat sendiri.

Saka mudah diubati

Syeikh Dr Nasir berkata, mereka terkena saka lebih mudah diubati berbanding sihir.

“Saka tak berat mana. Ia boleh diubati sekali saja atau paling banyak hanya tiga kali rawatan sebelum pesakit lega sepenuhnya,”katanya.

Syeikh Dr Nasir berkata, golongan kerap terkena sihir ialah peniaga dan suami isteri.

Menurutnya, kebanyakan suami isteri disihir menggunakan sihir pemisah yang bertujuan untuk merobohkan rumah tangga mereka.

“Ia akan bermula dengan sakit dalamam dan muntah. Kebanyakan sakit di perut, lutut, demam, dada dan sebagainya.

“Apabila kita rawat, jin lain akan dihantar semula oleh pihak pembenci oleh orang yang menganiaya pesakit.

“Jadi untuk memutuskan sihir itu, kita akan buat solat hajat, zikir, berdoa, jampi dan sebagainya.

“Pesakit juga perlu mandi menggunakan ramuan yang tidak disukai jin,”katanya.

Menurutnya, menyembuhkan pesakit dari sihir memakan tempoh dengan ada yang sembuh hanya sekali rawatan dan ada yang memakan masa bertahun lamanya.

Menurutnya, ada di antara kes berat memaksa para perawat membuat rawatan di rumah pesakit termasuk ‘membersihkan’ serta ‘memagar ‘ rumah mereka .

“Merawat pesakit sihir memakan masa. Rawatan pertama Insha Allah akan mengeluarkan sihir-sihir kasar dan rawatan kedua dan selanjutnya akan mengurangkan sisa sihir-sihir sehinggalah pesakit sembuh.

“Jika bernasib baik pesakit akan lega hanya sekali rawatan sahaja,”katanya yang turut mengaitkan tempoh sembuh bergantung kepada kekuatan sihir dihantar.

Menjelaskan lanjut tentang kaedah rawatan, ayat al-Quran paling mujarab untuk melawan sihir ialah surah al-Baqarah.

Katanya, surah al-Baqarah sangat digeruni oleh jin dan selain surah itu mereka turut membaca ayat-ayat suci lain antaranya ialah surah Al-Rahman.

Perawat terdedah ancaman jin

Sementara itu, salah seorang perawat Al Mashood, Nazri Abdullah berkata, setiap perawat yang mengubati pesakit diganggu jin berdepan dengan cabaran besar.

Menurutnya, hal ini kerana, para perawat termasuk ahli keluarga mereka terdedah dengan dendam jin yang melakukan serangan ke atas mereka.

“Jin ialah satu makhluk yang tidak boleh dilihat. Bukan semua orang mempunyai boleh melihatnya walaupun dia seorang perawat.

“Apabila kita merawat ia akan Ada serangan atau tindak balas. Ia tidak terhad kepada kita sahaja.

Seorang pesakit saka sedang diubati Sunan Nazri Abdullah

“Tetapi ia boleh melibatkan anak-anak dan isteri kita. Apabila kita selesai perawat, jin sudah tidak menggangu pesakit tetapi menggangu kita pula.

“Maksudnya walaupun gangguan jin ke atas pesakit telah selesai, tetapi gangguan jin ke atas perawat belum selesai lagi. Inilah cabarannya,”katanya.

Bagaimapun katanya, jumlah perawat Al Mashood yang ramai membolehkan mereka membantu antara satu sama lain bagi menghapuskan gangguan diterima.

Mereka yang mahu mendapatkan rawatan di Pusat Rawatan Al Mashood boleh hubungi perawat di talian +60 17-408 1399.

RENTAS7

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.