Mereka permata buat negara

JAM dari pelbagai negeri terlibat dalam misi kemanusiaan di Gunung Jerai dan kawasan sekitarnya

YAN– Boleh disifatkan permata untuk negara sekalipun kehadiran mereka dalam mana-mana misi kemanusiaan kurang mendapat perhatian ramai terutamanya media.

Bertepatan dengan slogan “Beramal Kerana Allah’, mereka tetap komited menghulurkan bantuan dengan ikhlas tanpa meminta jasa mereka dipuji atau disanjung.

Itulah jati diri yang ada pada setiap anggota Jabatan Amal Malaysia (JAM).

Terbaru, anggota JAM turut terlibat dengan misi kemanusiaan membantu penduduk yang terjejas banjir kilat akibat tragedi ‘kepala air’ Gunung Jerai.

Dengan kekuatan tersendiri, anggota JAM bergotong royong membersihkan kotoran lumpur dan selut yang memasuki premis dan kediaman mangsa banjir.

Tidak cukup itu, mereka terlibat dengan penyediaan memasak bagi petugas operasi bencana, mencari mangsa lemas, membersihkan laluan dari halangan dan lain-lain.

Malah, anggota digelar ‘semut merah’ itu bergotong royong menarik paip besar dari bawah ke atas gunung bagi mengambil air bekalan bersih.

JAM dari pelbagai negeri terlibat dalam misi kemanusiaan kali ini

Usaha dan pengorbanan mereka itu mendapat perhatian seluruh kepimpinan PAS termasuk Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor.

“Setiap kali bencana melanda, akan kelihatan team ‘semut merah’ ni turun bagi bantuan kemanusiaan.

“Ini kumpulan yang ditugaskan untuk tarik paip besar dari bawah ke atas gunung untuk ambil bekalan air dari atas.

“Depa tarik naik secara gotong-royong, tanpa bayaran sesen pun. Slogan depa sangat luar biasa, “Beramal Kerana Allah”,” katanya dalam satu kenyataan di Facebooknya hari ini.

Sanusi turut memuji sikap para anggota yang tidak meninggalkan solat walaupun sibuk dengan misi.

“Dalam kalut lagu tu pun, solat tidak dilupa. Tahniah semua. Terima kasih datang bantu,” katanya.

Kesungguhan anggota JAM membantu masyarakat turut menyentuh hati Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

“Alhamdulillah. Terharu melihat kesungguhan wira tidak didendang Jabatan Amal dan Pemuda PAS yang berusaha untuk membaiki sistem perpaipan untuk penduduk sekitar Gunung Jerai yang terjejas akibat insiden kepala air beberapa hari lalu.

Semoga Allah mengganjari usaha kalian. Didoakan juga operasi ini berjaya dan penduduk dapat menikmati semula bekalan air yang lebih baik. Terima kasih. Beramal kerana Allah!,” katanya.

Untuk rekod, misi kemanusiaan JAM melibatkan pelbagai negeri lain selain Kedah.

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.