“Mereka tak tahu, bertanya tentang Tuhan”

Seramai 490 kaum Bajau Laut memeluk Islam selepas didakwah Ustaz Ebit Lew

SEMPORNA– Seramai 490 penduduk dari empat buah kampung di sini mengucapkan dua kalimah syahadah, semalam.

Kaum Bajau Laut itu diislamkan pendakwah bebas, Ustaz Ebit Lew yang terlibat dengan misi kemanusian di Sabah.

Sehari sebelum itu, seramai 157 penduduk di Pulau Tatagan yang didakwah Ustaz Ebit memeluk Islam.

“Menangis bahagia sangat di Semporna 2 hari disini dapat 490 orang masuk Islam mengucap syahadah dari 4 buah kampung.

“Niat kerana dengar orang memerlukan bekalan makanan terus ke kawasan Bajau Laut yang tiada negara,”katanya di Facebook malam tadi.

Berkongsi pengalaman indah itu, Ustaz Ebit memaklumkan kaum Bajau bertanyakan dan tidak tahu tentang tuhan.

“Melihat hidup mereka hidup atas air. Ada atas bot. Hidup atas air sepenuhnya. Sekali-sekala ke darat.

“Mereka tiada agama. Sampai mereka bertanya tentang tuhan. Kami tidak tahu tentang tuhan. Mereka dengan rela hati ingin memeluk Islam. Sayu dengar mereka mengucap syahadah,”katanya

Dalam perkembangan sama Ustaz Ebit berkata, beliau kini dalam usaha membina sekolah bagi memberikan pendidikan terhadap kaum Bajau.

“Syukur tadi selesai bawa kayu dan mula bina sekolah. Kami cadang bina 3 sekolah. Tadi dah dapat 6 guru untuk mengajar asas 3M dan Asas Islam.

“Akhlak dan kasih sayang. Tadi dah letak kayu. Sebulan akan siap semuanya. Saya akan bayar gaji guru. Dan akan cuba bantu mereka secara berterusan. Cikgu akan tinggal disana,”katanya.

Pendakwah bebas dan penderma berhati mulia itu tidak lupa merakamkan penghargaan kepada pasukan keselamatan yang membantu sepanjang misi kemanusian di sana.

“Menangis jer hari ini. Terima kaseh Maritim menyediakan dan bantu kami dari mula sampai habis. Terima kasih PDRM. Terima kasih Komando 69 dan PGA dan ATM.

“Terima kaseh Pengurusan Taman-taman Sabah yang memudahkan kami bina sekolah. Terima kasih NGO yang terlalu banyak membantu mereka. Ini sedikit usaha kecil kami. Semoga menjadi asbab kebaikan,”katanya.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.