Henti projek mengarut, laksanakan pertanian berskala besar

Datuk Mustaffa Idrus

SUNGAI PETANI– Kerajaan disaran mengutamakan sektor pertanian dan penternakan dengan mewartakan tanah bagi tujuan itu serta menghentikan segala projek bukan keperluan.

Pengerusi Persatuan Angkatan Masyarakat Melayu ( PAMM) Negeri Kedah, Datuk Mustaffa IdrusĀ  berkata, kerajaan juga perlu bertindak hentikan segera pajakan tanah kepada mana-mana pihak.

Menurutnya, kerajaan dinasihati tidak menunggu hingga krisis makanan benar terjadi di negara ini, barulah tindakan mahu diambil.

“Sebagai contoh kita lihat ada tanah diluluskan atau dipajakkan untuk tujuan pembangunan, perumahan, pelancongan dan sebagainya, sedangkan ia bukan keperluan mendesak.

“Berapa banyak pusat pelancongan, perumahan serta projek lain yang terbengkalai? Bukan 10, bukan 100 tetapi rakyat boleh lihat sendiri jumlah projek membazir,”katanya kepada pemberita hari ini.

Mustaffa berkata, ketika dunia sedang menuju fasa krisis perang dan makanan, kerajaan Malaysia dituntut untuk memastikan tanah di negara ini dimanfaatkan untuk stok bekalan makanan.

“Wartakan tanah untuk pertanian serta penternakan termasuklah di Kuala Lumpur.

“Apa yang kita kejar selama ini ialah pelaburan, walhal sektor pertanian itu sendiri lebih besar nilainya daripada pelaburan sedia ada.

“PAMM lihat selama ini negara kita gagal menguruskan sumber yang sepatutnya membawa pulangan lumayan kepada negara serta mewujudkan peluang-peluang pekerjaan kepada anak muda.

“Ibarat sebuah kereta yang kerosakan enjin. Pemandu perlulah tukar enjin berkenaan barulah kereta berjalan.

“Malaysia sebagai sebuah negara subur sepatutnya menjadi kuasa utama dalam sektor pertanian. Sepatutnya kita raja eksport makanan ke luar negara,”katanya.

Beliau berkata, PAMM sedia membantu kerajaan mencapai objektif bagi perkara tersebut.

India mengumumkan larangan eksport gandum berkuat kuasa 15 Mei lalu sekaligus menimbulkan kebimbangan banyak negara terhadap stok bekalan makanan asas itu.

RENTAS7

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.