Padah terbit laporan palsu, rakyat Malaysia kecam Al Jazeera

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR-Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mencabar agensi Al Jazeera mengemukakan bukti negara-negara yang memberikan kebebasan mutlak kepada warga asing yang tidak berdokumen.

“Kita boleh tanya Al Jazeera ini, berikan kita nama mana-mana negara dalam dunia ini yang membenarkan warga asing yang tidak mempunyai dokumen perjalanan ataupun dokumen yang tidak sah boleh bebas di negara mereka.

“Saya cabar Al Jazeera tunjukkan negara mana yang memberikan kebebasan mutlak kepada warga asing yang tidak berdokumen,”katanya dalam sidang media hari ini.

Ismail berkata demikian bagi mengulas laporan palsu Al Jazeera yang memburuk-burukkan nama baik Malaysia dalam mengawal penularan COVID-19 membabitkan warga asing.

Tegas Ismail, warga asing yang dijangkiti dirawat di tempat khas iaitu di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS).

“Kita bawa mereka, kita rawat mereka sehingga sembuh, kita saring mereka di tempat khas

“Pembohongan yang dilakukan Al Jazeera ini bahawa kanak-kanak digari untuk dibawa ke pusat tahanan. Ini satu pembohongan secara terbuka.

“Saya percaya pemberita ini tidak mempunyai etika langsung di dalam melaporkan rencana itu,”katanya.

Beliau menjelaskan realiti sebenar yang berlaku, kanak-kanak berkenaan tidak digari malah diasingkan daripada tahanan lain.

Beliau turut menuntut Al Jazeera memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia di atas pembohongan yang dibuat.

Sebuah dokumentari diterbitkan Al Jazeera bertajuk “Locked Up in Malaysia Lockdown” hampir 30 minit menuduh Malaysia tidak memberikan layanan yang baik kepada pendatang tanpa izin (Pati).

Laporan berkenaan membangkitkan kemarahan dan kecaman seluruh rakyat Malaysia terhadap agensi berita berkenaan.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.