Mengejutkan, JAS bongkar kontena bawa buangan toksik berbahaya

Tuan Ibrahim tengah menunjukkan bahan buangan debu electric arc furnace (EAF) yang dibawa masuk ke dalam negara ini

GELANG PATAH – 19 JULAI 2020 – Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) melalui Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah berjaya mengesan 110 unit kontena berstatus transhipment di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), Johor yang didapati mengandungi bahan buangan debu electric arc furnace (EAF) yang berasal dari Romania sebelum dihantar ke negara pengimport iaitu Indonesia.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, maklumat asal yang diperolehi dalam borang deklarasi bagiamanapun tidak sepertimana yang terkandung dalam kesemua kontena berkenaan.

“Buangan EAF dust diklasifikasikan sebagai buangan toksik dan berbahaya di bawah Konvensyen Basel dan dikategorikan sebagai buangan terjadual kod SW 104, di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005.

“Debu EAF mengandungi logam berat yang amat berbahaya seperti zinc (Zn), ferum (Fe), chromium (Cr), cadmium (Cd) dan plumbum (Pb) dan sekiranya tidak diuruskan dan dikendalikan mengikut prosedur tertentu, akan menyebabkan kesan buruk bukan
sahaja kepada alam sekitar, malah boleh menjejaskan kesihatan manusia,”katanya dalam kenyataan media hari ini.

Tuan Ibrahim berkata, JAS selaku Pihak Berkuasa Konvensyen Basel, tidak pernah memberikan sebarang kelulusan dan menerima sebarang notifikasi daripada pihak pengeksport untuk buangan tersebut transit di Malaysia.

“Susulan penemuan kontena-kontena ini, pada 15 Jun 2020, JAS telah memaklumkan Focal Point dan Pihak Berkuasa Konvensyen Basel bagi Negara Romania bagi urusan penghantaran balik 110 unit kontena ke negara asal.

Kontena-kontena yang membawa masuk bahan buangan toksik secara haram

“Saya ingin menegaskan bahawa sebagai ahli kepada Konvensyen Basel, Malaysia
adalah komited untuk memenuhi sepenuhnya obligasi dibawah Konvensyen ini,”katanya.

Beliau berkata, melalui Konvensyen ini, sebarang pergerakan merentasi sempadan buangan berbahaya hendaklah memenuhi prinsip Prior Informed Consent (PIC) yang mana negara pengeksport hendaklah mengemukakan notifikasi kepada negara pengimport dan negara transit.

“Sebarang pergerakan merentasi sempadan buangan toksik dan berbahaya hanya boleh dilaksanakan setelah mendapat kebenaran bertulis dari negara pengimport dan negara transit.

“KASA menghargai kerjasama pihak Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) dalam
membantu menahan kontena-kontena tersebut untuk menjalani pemeriksaan
komprehensif bagi memastikan tiada sebarang cubaan untuk membawa keluar atau masuk ke Malaysia tanpa kelulusan JAS,”katanya.

Menurutnya, KASA juga berterima kasih atas pemakluman oleh Syarikat ABC Tradex (servis cargo salvage), Syarikat Maersk (pemilik kargo) serta bantuan dan kerjasama pihak PTP dan pihak Jabatan Kastam DiRaja Malaysia (JKDM) dalam mengendalikan kes ini.

“Siasatan masih diteruskan terhadap kes ini dan JAS akan memastikan 110 unit kontena tersebut akan dibawa keluar dari Malaysia secepat mungkin.

Tuan Ibrahim (Kanan) dan Pegawai JAS membuka pintu salah sebuah kontena yang membawa masuk bahan buangan berbahaya tersebut

“Kerjasama di peringkat antarabangsa dalam menangani dan membanteras
penghantaran buangan toksik dan berbahaya secara haram ke dalam negara akan tetap diteruskan oleh JAS,”katanya.

Jelas beliau, bagi tempoh 1 Januari hingga 30 Jun 2020, terdapat 28 kes pengimportan haram buangan terjadual yang berjaya dikesan dan dipatahkan oleh JAS dengan kerjasama JKDM dan Pihak Berkuasa Pelabuhan.

“Bagi kawalan terhadap buangan terjadual di dalam negara, semua industri dan punca yang menghasilkan buangan terjadual hendaklah menguruskan buangan berkenaan
dengan sempurna iaitu dari segi notifikasi, maklumat ciri buangan, penstoran, pelabelan, inventori dan maklumat pergerakan buangan terjadual.

“Semua ini perlu direkodkan melalui sistem atas talian iaitu eSWIS (Electronic Scheduled Waste Information System) selaras dengan Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005.

“Saya ingin menggesa semua industri dan punca yang menghasilkan buangan
terjadual untuk menggunapakai eSWIS sepenuhnya,”katanya.

Tambahnya, tindakan tegas akan diambil oleh JAS ke atas pihak industri yang gagal berbuat demikian. KASA tidak akan berkompromi dengan penjenayah alam sekitar dan ingin ditegaskan bahawa tindakan penguatkuasaan KASA akan terus diperhebatkan demi menjamin kelestarian alam sekitar dan kesejahteraan rakyat.

“Akhir kata, saya ingin menegaskan bahawa Malaysia mengambil pendekatan zero tolerance kepada sebarang kemasukan haram sisa toksik ke negara ini.

“Saya menyeru orang ramai untuk menjadi mata dan telinga JAS dengan melaporkan sebarang aktiviti yang mencemarkan alam sekitar di talian bebas tol 1-800-88-2727,”katanya.

Orang ramai juga boleh email ke aduan_k@doe.gov.my dan melalui portal e-aduan JAS di ttps://eaduan.doe.gov.my.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.