Ujian COVID-19: Empat bulan hilang pendapatan

BALING- lelaki hilang pendapatan selama empat bulan akibat penularan wabak COVID-19.

Lelaki ingin dikenali Yat ,48, berkata, dia menyara keluarga dengan memandu van kilang.

Namun katanya, pekerjaan utama itu tidak dapat diteruskan selepas kilang menutup operasi sekaligus menutup ‘periuk nasinya’.

“Saya memandu van kilang yang diusahakan secara persendirian. Jika ada penumpang ada lah pendapatan.

“Apabila kilang menutup sementara operasi mulai 18 Mac akibat penularan COVID-19, pendapatan saya amat terjejas teruk,”katanya kepada Rentas7.com.

Dalam tempoh itu katanya, dia langsung tidak mempunyai wang untuk membeli barangan makanan.

Dia mempunyai isteri dan lima anak masih belajar yang berusia 6, 14, 16,18 dan 20 tahun.

Keadaan bertambah buruk apabila isteri yang bekerja di sebuah kedai menerima nasib sama.

“Sepanjang empat bulan saya banyak bergantung dengan bantuan beras dan barangan dapur dari masjid, pihak zakat, pejabat DUN dan pejabat Parlimen.

“Alhamdulillah makanan cukup, cuma perbelanjaan lain tu memang tak cukup. Bil utiliti pun tertunggak.

“Mujurlah dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekolah dan universiti pun tutup, jadi kuranglah sedikit bebanan bagi perbelanjaan anak-anak belajar,”katanya.

Bagaimanapun, Yat kini lega apabila sudah dapat bekerja mulai kelmarin.

“Pada 1 Ogos saya dah boleh bekerja tapi sempat kerja lapan hari saja. Sebabnya bila Kluster Tawar merebak pekerja tak dibenarkan hadir.

“Tapi alhamdulillah, kelmarin saya dah dapat kerja balik. Bil utiliti pun dah jelaskan sedikit,” katanya.

Mereka yang ingin membantu boleh hubunginya di talian 013-4799260.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.