Maritim Malaysia tahan 19 anak kapal, nahkoda warga China

JOHOR- Seramai 19 anak kapal kargo bersama nahkoda ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).

Kesemua lelaki warga China itu ditahan pada petang semalam kerana menceroboh perairan negara.

Pengarah Maritim Malaysia Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Aminuddin Abdul Rashid berkata, kapal kargo itu berlabuh tunggu tanpa kebenaran di kedudukan kira-kira tiga batu nautika selatan Pulau Kukup di sini.

“Hasil maklumat disalurkan Jabatan Laut Wilayah Selatan, kapal tersebut dikesan berlabuh tunggu tanpa kebenaran di kedudukan kira-kira tiga batu nautika selatan Pulau Kukup.

“Bertindak atas maklumat tersebut, sebuah kapal ronda yang sedang melakukan operasi di perairan sekitar terus menukar arah,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kapal kargo yang dinaiki 19 orang warga China

Beliau berkata, kapal berdaftar di Republik Kepulauan Marshall itu gagal mengemukakan sebarang kebenaran bersauh dari pihak berkuasa ketika diperiksa.

“Terdapat seorang nahkoda (Master) berusia 50 tahun bersama 19 anak kapal di atas kapal berkenaan.

“Nahkoda bersama kesemua dokumen anak-anak kapal ditahan bagi tujuan siasatan manakala anak-anak kapal kekal berada di kapal tersebut,”katanya.

Aminuddin berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 491B (1) (I) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.

“Jika didapati bersalah, boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000.00 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya,”katanya.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.