Seramai 21,106 individu ingkar PKP telah ditangkap, Polis buka empat kertas siasatan Rohingya

KUALA LUMPUR-Seramai 21,106 individu telah ditangkap polis kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Sri Ismail Sabri berkata, jumlah itu merupakan tangkapan kumulatif ingkar PKP setakat semalam (27 April).

“PDRM telah menangkap 489 individu berbanding dengan 606 individu pada hari sebelumnya kerana ingkar PKP yang merangkumi 465 individu direman dan 24 individu diberikan jaminan polis.

“Jumlah tangkapan kumulatif ingkar PKP sehingga 27 April 2020 adalah 21,106 individu,”katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Tambahnya, daripada jumlah itu, seramai 741 individu telah dituduh di mahkamah atas kesalahan ingkar kepada PKP.

Beliau berkata, PDRM bersama ATM pada semalam telah mengadakan sebanyak 832 sekatan jalan raya di seluruh negara dan melakukan pemeriksaan ke atas 616,917 kenderaan.

“Sebanyak 41,830 pemeriksaan mengejut telah diadakan di seluruh negara dengan sebanyak 6,698 premis telah diperiksa oleh pihak berkuasa.

“Hari ini merupakan hari yang ke 14 PKP 3 dilaksanakan iaitu hari terakhir sebelum masuk ke PKP 4 yang akan bermula esok,”katanya.

Mengulas isu Rohingya yang kini hangat dibangkitkan di media sosial, Ismail Sabri berkata, sehingga semalam, 16 laporan polis dibuat berkaitan dengan kes Rohingya dan pihak polis telah pun membuka empat kertas siasatan.

“PDRM dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah membuka sebanyak 238 kertas siasatan berkaitan berita palsu COVID-19.

“Daripada jumlah tersebut sebanyak 170 masih dalam siasatan manakala 24 telah didakwa di mahkamah dan 13 telah mengaku salah,”katanya.

Beliau turut menasihati orang ramai supaya lebih berhati-hati sebelum menyebarkan kandungan yang diragui kesahihannya dan boleh membuat semakan kesahihan berita tersebut melalui portal sebenarnya.my.

“Saya beri peringatan, jika tidak pasti jangan kongsi kerana yang menyebarkan atau yang kongsi berita palsu boleh diambil tindakan.

“PDRM dan SKMM akan mengambil tindakan yang tegas kepada mereka yang menyebarkan berita palsu,”katanya.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.