Malaysia menang, mujur jaringan India tidak dikira..

Pemain Malaysia sedang merebut bola daripada pemain India

KUALA LUMPUR-Skuad Kebanggsaan menang 4-2 ke atas India pada aksi separuh akhir Pesta Bola Merdeka 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) tetapi keputusan itu dicemari sedikit kontroversi.

Kemenangan Malaysia boleh dianggap bernasib baik ekoran jaringan ketiga India pada malam ini tidak dikira.

Keputusan mungkin berubah ketika Malaysia yang sudah mendahului 3-1 tiba-tiba boleh melepaskan dua gol setelah pertahanan negara yang diasak bertalu-talu oleh India gagal berfungsi dengan baik.

Keputusan malam ini mungkin berubah sekiranya pengadil membenarkan jaringan ketiga India dalam keadaan skuad kebanggsaan seolah-olah hilang punca di separuh masa kedua hingga membenarkan lawan ‘menggila’ di kawasan sendiri.

Bahkan pertahanan negara seakan terpukau dengan serangan India yang bermain dengan corak permainan pantas dan tersusun.

Pada aksi pertama malam ini, skuad kebanggaan beroleh gol pertama melalui jaringan Dion Cools pada minit ketujuh.

Namun ia tidak bertahan lama apabila Naorem Mahesh Singh menyamakan kedudukan pada minit ke-13.

Pemain bahagian sayap lincah skuad kebanggsaan, Arif Aiman Hanapi melatakkan Malaysia kembali di depan apabila menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-20 sebelum Faisal Halim meledak gol ketiga Malaysia pada minit ke-42.

Di separuh masa kedua Malaysia terpaksa berdepan serangan bertali arus dan hasilnya Sunil Chhetri merapatkan jurang gol pelawat apabila menolak masuk hantaran rakan sepasukan pada minit ke-51.

India sekali lagi menekan Malaysia dengan gol ketiga pada minit ke-55 tetapi tidak dikira pengadil walaupun jaringan itu sebenarnya sah.

Masalah itu timbul ekoran ketiadaan sistem video bantuan pengadil (VAR).

Ketika pemain India sedang kecewa, Malaysia menerusi serangan balas pantas membalas gol keempat melalui jaringan Corbin Ong yang menerima hantaran Faisal Halim pada minit ke-61.

Keputusan itu kekal hingga tamat permainan.

Secara keseluruhan India telah mendedahkan kelemahan ketara pertahanan skuad kendalian Kim Pan-gon di barisan pertahanan.

Bahagian serangan skuad negara masih mengekalkan momentum terbaik dengan trio Arif Aiman, Faisal Halim dan Akhyar Rashid jadi taruhan terbaik menggempur lawan di Piala Asia 2023.

Kejuaraan Pesta Bola Merdeka juga sepatutnya berlangsung di atas padang lebih berkualiti serta mempunyai sistem VAR.

Keadaan padang yang mudah tercabut rumput hingga mengeluarkan pasir selain bola mudah melantun nyata sangat mengecewakan .

Padang SNBJ juga dilihat belum sedia dan matang untuk sebarang aksi walaupun Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) sebelum ini memaklumkan padang SNBJ telah dinaik taraf kepada rumput jenis Zeon Zoysia.

Mutu padang malam ini sudah cukup  memberikan persepsi buruk banyak pihak kepada tuan rumah Malaysia khususnya oleh pasukan luar yang diundang beraksi pada kejohanan Pesta Bola Merdeka tahun ini

 

 

RENTAS7/ FOTO : FAM

 

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.