KUALA LUMPUR-Malaysia mengadakan latihan ketenteraan di Laut China Selatan membabitkan beberapa kapal perang dan sebuah helikopter.
Kapal Diraja (KD) Kedah, KD Keris, KD Pari dan KD Ganas serta Helikopter EC725 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dari Pengkalan Udara Labuan digerakkan bagi Perang Borneo 1/21 itu.
Menurut posting Markas Pemerintahan Armada Timur di Facebook hari ini, latihan bertujuan menguji ketangkasan dan kesiagaan aset-aset TLDM di bawah pemerintahan Armada Timur.
Selain itu, ia bagi menguji kecekapan warga dalam melaksanakan konsep peperangan, navigasi dan ilmu kelautan.
“Evolusi yang dilaksanakan meliputi pelbagai aspek seperti Melawan Kebakaran dan Mengawal Kebanjiran (MKMA) di atas kapal, latihan menembak dan latihan pemindahan semasa di laut.
“Latihan kali ini juga merupakan latihan julung kali yang turut disertai oleh Laksamana Madya Dato’ Sabri Zali sejak mengambil alih pemerintahan Armada Timur, Disember lalu,” katanya
Turut serta adalah Timbalan Panglima Armada Timur, Laksamana Pertama Sazalee Shoib.
Kenyataan berkata, latihan tetap itu diadakan bagi mengekalkan momentum anggota dan kebolehupayaan aset TLDM di Armada Timur walaupun situasi pandemik COVID19 sedikit sebanyak merencatkan perancangan eksesais dan latihan 2021.
“Ia turut menjadi pemangkin untuk menyediakan armada yang kompeten dan sentiasa bersedia dan terlatih tanpa mengira situasi aman mahupun ketika perang,”katanya.
Rentas7.com
Leave a Reply