Malaysia dapat kekuatan lawan Indonesia

Kem kebangsaan lega apabila tiga pemain yang sebelum ini positif COVID-19 sudah sembuh sekaligus dapat menyertai kem latihan

KUALA LUMPUR– Skuad negara yang bakal menghadapi perlawanan hidup atau mati Piala AFF Suzuki 2020 menentang Indonesia pada 19 Disember ini diperkuatkan dengan kehadiran tiga pemain.

Faisal Halim, Quentin Cheng dan Khairulazhan Khalid yang sebelum ini positif COVID-19 dan disahkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menyertai pasukan hari ini.

Memetik kenyataan pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe, ketiga-tiga pemain berkenaan telah mendapat pelepasan daripada Kementerian Kesihatan Singapura.

Menurutnya, pelepasan diberikan semalam itu selepas Khairulazhan dan Faisal selesai menjalani kuarantin selama 10 hari perintah pengasingan manakala Quentin diberikan pelepasan awal selepas tempoh tujuh hari perintah pengasingan berdasarkan keputusan ujian PCR dijalankan.

“Ketiga- tiga pemain ini telah memulakan aktiviti bersama pasukan dengan aktiviti pertama ialah di gimnasium ini memandangkan hari ini merupakan hari recovery selepas kita beraksi menentang Vietnam, malam tadi. Mereka selepas ini akan dapat turut kembali menyertai sesi latihan penuh kita di padang bagi persiapan menghadapi perlawanan terakhir Kumpulan B menentang Indonesia pada Ahad, 19 Disember 2021.

“Bagaimanapun, seorang lagi pemain yang diuji positif COVID-19 sebelum ini iaitu Akhyar Rashid masih perlu melengkapkan tempoh 10 hari Perintah Pengasingan dan hanya akan kembali menyertai pasukan selepas tamat tempoh berkenaan,” kata Cheng Hoe seperti disiarkan di Facebook FAM petang ini.

Beliau berkata, tahap dua pemain pertahanan iaitu Aidil Zafuan Abd Radzak dan Shahrul Saad pula akan terus dipantau doktor dan fisiotetapis pasukan dan membuat penilaian sama ada mereka sempat pulih atau tidak menentang Indonesia nanti.

“Bagi posisi pertahanan tengah ini, kita masih memiliki Dominic Tan yang bebas daripada sebarang kecederaan manakala Junior Eldstal masih dalam proses pemulihan kecederaan otot di bahagian abdomen.

“Namun, kita bakal memiliki Dion Cools yang dijangka tiba di Singapura pada Khamis ini (16 Disember 2021) untuk mengisi posisi pertahanan tengah ini andai Aidil dan Shahrul tidak sempat pulih menjelang perlawanan Ahad nanti,” katanya.

 

RENTAS7

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.