Makerslab MRANTI akan memperluaskan dan mempercepatkan pembekalan idea

Adham Baba

KUALA LUMPUR – Di kala dunia beralih ke era Revolusi Perindustrian Ke-4 (IR4.0), peluang dalam kecerdasan buatan (AI), automasi, elektrifikasi, sains data, pengkomputeran awan dan percetakan 3D semakin pesat berkembang.

Dalam memacu daya saing dan matlamat Malaysia untuk menjadi negara berteknologi tinggi dan berpendapatan tinggi, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Dato’ Sri Dr. Adham Baba menggariskan beberapa usaha utama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dalam memanfaatkan pelbagai peluang bagi memperluaskan dan mempercepatkan inovasi untuk negara, demi menyelesaikan cabaran yang wujud dalam masyarakat dan sektor tertentu.

“Hasrat MOSTI adalah untuk mencipta nilai yang mampan (sustainable value).

“Dalam rantaian nilai ini, kami ingin memupuk inovasi bermula daripada akarnya, supaya kita dapat menjamin
kelangsungan idea dan produk inovatif,”katanya pada semalam.

Beliau berkata, pelbagai inisiatif telah dirancang di Malaysian Research Accelerator for Technology and Innovation (MRANTI) antaranya ialah MakersLab yang akan mula beroperasi bulan Mei ini.

“MakersLab berkeluasan 2,000 kaki persegi bertempat di MRANTI Park dan bertemakan IR4.0 merupakan pusat untuk komuniti inovator berkumpul, berkongsi buah fikiran serta menjalankan eksperimen bagi meningkatkan penciptaan dan inovasi tempatan.

“Pusat pembelajaran dan pembangunan
ini sesuai untuk inovator pelbagai peringkat usia melahirkan idea dalam satu ruang khusus,”katanya.

Beliau berkata, MakersLab bakal menjadi pemangkin budaya ‘pencipta’ melalui pendekatan ‘belajar dengan melakukan’.

” Di sini, komuniti inovator, pelajar dan pencinta inovasi secara amnya akan mempunyai akses yang pantas, mudah dan dengan kos berpatutan dalam membantu proses penyelidikan dan
eksperimen mereka.

“Akses ini membolehkan mereka memanfaatkan peralatan, perkakas, ruang dan pengetahuan tersedia untuk menghasilkan prototaip penyelesaian masing-masing dengan kadar yang pantas,”katanya.

Justeru kata beliau, ia adalah kemudahan ideal untuk menguji idea berskala kecil dalam persekitaran terkawal (sandbox), serta ‘bermain’ dengan perkakasan dan perisian dalam ruang khusus yang dilengkapi dengan sumber dan alatan yang diperlukan dari ‘sumber terbuka’.

Terdahulu Adham Baba menghadiri Majlis Iftar Silaturrahim Pengarang Media bersama YB Menteri MOSTI dan MRANTI .

Menurutnya lagi, inovasi yang baik lahir daripada perlunya penyelesaian
untuk sesebuah masalah, digandingkan pula dengan eksperimen dan keupayaan untuk beradaptasi dengan pantas.

” MakersLab akan membenarkan inovator untuk melalui kegagalan tetapi akan membantu mereka untuk berjaya dalam masa yang pantas dengan bimbingan untuk mencipta penyelesaian yang lebih baik.

“MakersLab membolehkan individu dan komuniti yang mempunyai minat
dalam inovasi untuk membentuk idea mereka dalam bentuk prototaip
dengan menggunakan pelbagai bahan seperti kayu, plastik, logam dan
tekstil yang berbeza.

” Ia dilengkapi dengan mesin CNC (Computerised Numerical Control) , pemotong laser, tablet lukisan 3D, pengimbas dan pencetak, perkakas berkuasa tinggi, alatan bertukang, meja kerja elektronik, kit pemodelan dan perisian CAD.

“Pada masa yang sama, tenaga pengajar akan berada di lokasi untuk mengajar ‘bagaimana cara untuk membuat
sendiri’ menggunakan alatan dan perkakas dengan cara yang selamat,”katanya.

Di MakersLab, orang ramai boleh mengambil bahagian dalam sesi senario ‘pencipta’ termasuk ‘Memanfaatkan Tenaga daripada Tenaga Suria’,
‘Membina, Menerbangkan dan Memandu Dron Sayap Tetap’, ‘Membina dan Mengekod Robot Pengikut Garis’, ‘Reka Bentuk Permainan’ dan pelbagai projek Kejuruteraan DIY yang menyeronokkan.

Jelasnya, MakersLab adalah sebahagian daripada kemudahan yang diintegrasikan di MRANTI Park (dahulu dikenali sebagai Taman Teknologi Malaysia) seluas 686 ekar untuk perkhidmatan penyelidikan, pembangunan, pengkomersilan
dan inovasi (R&D&C&I) daripada peringkat awal sehingga peringkat akhir.

RENTAS7

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.