Makam Tuan Tabal dirobohkan, angkara Wahabi?

KUALA LUMPUR– Perbuatan biadab merobohkan pusara Al Arifbillah Syeikh Abdul Somad Muhammad Soleh Al Kelantani berkemungkinan dilakukan kumpulan berfahaman Wahabi.

Binaan makam yang terletak di tanah perkuburan Banggol Kota Bharu itu dihancurkan oleh beberapa individu tidak dikenali sebelum ia tular di media sosial siang tadi.

Jam’iyah Nahdlatul Ulama’ Malaysia ( NA’AM) dalam satu kenyataan berkata, Almarhum yang juga dikenali Tuan Tabal adalah Khalifah Tarekat Ahmadiah Idrisiah pertama di Alam Melayu.

“NA’AM mengutuk perbuatan biadab merobohkan makam Tuan Tabal [Khalifah Thariqah Ahmadiah Pertama di Alam Melayu dan Guru kepada Syeikhona Kenali atau Tok Kenali ] sehingga menjadi rata oleh individu yang tidak bertanggungjawab.

“Berkemungkinan besar individu individu tersebut terpengaruh dengan fahaman Wahhabiyyah,”kata kenyataan tersebut hari ini.

Makam Tuan Tabal sebelum dimusnahkan

NA’AM berkata, umum mengetahui hukum membina binaan di atas kubur ialah haram apatah lagi di tanah perkuburan diwakafkan.

Bagi kes makam Tuan Tabal katanya, ia dibina di atas tanah persendirian bahkan terdapat pandangan yang mengecualikan pengharaman berkenaan.

Keadaan makam Tuan Tabal yang dirobohkan tular di media sosial

“Seperti mana ibarah di dalam Kitab Fiqh Al-Bujairimi-Al-Bujairimi berkata: Sesetengah ulama mazhab syafie mengecualikan (daripada hukum haram) kubur para nabi, syuhada, orang-orang soleh dan seumpamanya (nukilan Barmawi).

“Teks Ar-Rahmani menyebut: Sungguhpun begitu, kubur orang-orang soleh diharuskan membina di atasnya, sekalipun binaan kubah bertujuan memakmurkan dengan ziarah dan mengambil berkat.

“Al-Halabi berkata: Walaupun di dalam tanah perkuburan yang disabilkan dan beliau berfatwa sebegitu. Sesungguhnya Syeikh Ziyadi memerintahkan supaya didirikan binaan tersebut ketika beliau berkuasa,”katanya.

NA’AM berkata, umat Islam dinasihati supaya tidak melakukan tindakan sesuka hati terhadap kubur para alim ulama.

“NA’AM memperingati agar semua umat Islam bertaqwa kepada Allah dan beradab dengan para Auliya Allah serta Ulama Arifbillah agar menghormati kubur kuburan mereka dengan tidak meroboh sesuka hati dan tidak menjalankan aktiviti yang tidak dibenarkan oleh Syarak di atas kuburan mereka,”katanya.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.