Lucutkan kewarganegaraan penghina Jata Negara sebagai amaran awal

Datuk Mustaffa Idrus

SUNGAI PETANI– Penghina Jata Negara perlu dilucutkan kewarganegaraan secepat mungkin.

Ketua Penyelaras Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) Negeri Kedah, Datuk Mustaffa Idrus berkata, kerajaan digesa tidak takut melaksanakan tindakan tegas itu.

Menurutnya, kebiadapan sebahagian kelompok berkenaan terhadap Agong, agama dan negara termasuk lagu kebangsaan Negaraku tidak boleh dimaafkan sama sekali.

“Oleh kerana itu, kerajaan perlu melaksanakan sesuatu selain hukuman penjara dan denda.

“Sebagai amaran awal, kerajaan perlu berani lucutkan kewarganegaraan bermula dengan penghina Jata Negara. Ini penting supaya menjadi pengajaran kepada seluruh rakyat Malaysia”katanya hari ini.

Beliau berkata, mana-mana permohonan maaf oleh mereka yang menghina negara ini tidak boleh diterima sama sekali.

“Jika salah mohon maaf, maaf dan maaf. Sampai bila pun mereka tetap akan menjadi biadap sekiranya kewarganegaraan mereka tidak dilucutkan.

“Cukuplah dengan penghinaan selama ini. Kita bina semula negara, lucutkan kewarganegaraan si biadap dan si pengkhianat,”katanya.

Beliau berkata, PUTRA sebagai sebuah parti yang berjuang untuk bangsa Melayu tidak akan berdiam diri sekiranya kewarganegaraan mereka yang menghina Agong, agama dan negara tidak dilucutkan.

Terdahulu, tular gambar depan buku ‘Reformasi, Resistance And Hope In New Malaysia’ yang mengubah suai gambar Jata Negara.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.