Lari daripada ditangkap, tiga Pati jatuh laut

Pihak berkuasa sedang melaksanakan operasi SAR

𝗝𝗢𝗛𝗢𝗥 𝗕𝗔𝗛𝗥𝗨 – Tiga pendatang tanpa izin (Pati) terjatuh ke dalam laut ketika melarikan diri ditangkap Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Kejadian berlaku pada jam 2 pagi hari ini ketika bot APMM yang sedang melaksanakan Op Benteng di perairan Tanjung Piai, Johor.

Susulan kejadian itu, Maritime Rescue Sub-Centre Johor Bahru (MRSC-JB) mengaktifkan Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) tiga Pati tersebut.

Pengarah Maritim Johor, Laksamana Pertama Maritim Aminuddin Abdul Rashid berkata, bot yang membawa lima orang termasuk tekong terbalik ketika melarikan diri daripada ditahan oleh bot ronda Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan Op Benteng di perairan Tanjung Piai, Johor.

Menurutnya, bot berkenaan dikesan kira-kira jam 12 malam tadi di sekitar Tanjung Adang, Gelang Patah, Johor hasil maklumat risikan.

“Menyedari kehadiran bot ronda Maritim Malaysia, tekong bertindak memecut laju bagi meloloskan diri namun bot terbalik di posisi lebih kurang 4.3 batu nautika tenggara Tanjung Piai, Johor pada jam lebih kurang 1.45 pagi.

“Seorang lelaki dewasa dipercayai tekong bot warga Indonesia telah berjaya diselamatkan dan ditahan manakala pencarian di kawasan bot terbalik tidak menemui mangsa lain,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam perkembangan sama, APMM dalam satu kenyataan berkata, MRSC-JB menerima makluman daripada Lembaga Pelabuhan Johor mengenai sebuah Kapal Dagang (MT SMF IXORA) telah menyelamatkan seorang wanita dewasa dipercayai Pati warga Indonesia yang jatuh laut berhampiran kapal itu lebih kurang 4.5 batu nautika timur Tanjung Piai.

“Berdasarkan maklumat awal, tiga lagi rakan mangsa yang terdiri daripada dua wanita dan seorang lelaki dewasa dipercayai turut sama terjatuh ke laut di sekitar lokasi sama,”katanya.

Koordinasi SAR oleh MRSC-JB bagi mencari tiga mangsa yang masih hilang melibatkan sebuah kapal dan empat bot dari Maritim Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM). Keluasan sektor pencarian meliputi 40 batu nautika persegi di sekitar perairan Tanjung Piai dan Tanjung Bin, Kukup, Johor.

Kenyataan berkata, maklumat pencarian juga disalurkan kepada Komuniti Maritim terutama kapal-kapal dagang yang berada serta melalui kawasan tersebut.

“Perkara tersebut turut dimaklumkan kepada Agensi penguatkuasa negara jiran seperti Badan SAR Nasional Indonesia (Bassrnas) dan Maritime and Port Authority of Singapore (MPA-Singapore).

“Maritim Malaysia menyeru mana-mana individu yang ingin keluar atau masuk ke negara ini supaya menggunakan jalan yang sah dan selamat. Sindiket penyeludupan Pati hanya ingin mengaut keuntungan tanpa menghiraukan keselamatan nyawa,”katanya.

Sebarang maklumat mengenai penemuan mangsa yang terlibat boleh disalurkan kepada Pusat Operasi Maritim Negeri Johor (07-219 9404).

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.