Akhyar tamat kemarau gol, Malaysia menang aksi penting

KUALA LUMPUR- Malaysia B-22 mengutip tiga mata berharga bagi memburu tiket ke separuh akhir walaupun kelebihan mengisi slot tersebut tampak lebih memihak kepada tuan rumah Filipina.

Anak buah Datuk Ong Kim Swee meraih kemenangan pertama hasil kemenangan 4-0 ke atas Timor Leste bagi aksi ketiga Sukan SEA Kumpulan A di Stadium Memorial Rizal, Filipina malam ini.

Perlawanan ketiga ini juga menyaksikan pemain sayap lincah, Akhyar Rashid berjaya menamatkan kemarau gol untuk dirinya setelah bergelut dengan prestasi kurang meyakinkan ketika menentang Myanmar dan Filipina.

Skuad negara yang diharap menang dengan jaringan lebih besar berada di depan hasil jaringan sendiri pemain lawan, Filomeno Junior Da Costa seawal minit keenam.

Penyerang, Hadi Fayyadh mencetak nama sebagai penjaring gol pada minit ke-34 dan minit ke- 43.

Akhyar Rashid yang dimasukkan pada separuh masa kedua menyumbat gol keempat pada minit ke-81 hasil umpanan bola daripada Kogileswaran.

Di babak kedua, skuad remaja negara hampir beberapa kali dibolosi lawan namun mereka bernasib baik apabila pemain Timor Leste gagal menyempurnakan penyudah.

Bertemu Kemboja pada 4 Disember, Malaysia perlu mengatasi lawan dengan jaringan selesa bagi menjamin tempat ke separuh akhir.

Bagaimanapun, Harimau Muda yang baru mengutip empat mata perlu mengharapkan Timor Leste pasukan dianggap paling lemah Kumpulan A melakar kejutan ke atas tuan rumah, Filipina pada hari yang sama.

Kemboja yang mencatatkan keputusan seri 1-1 bertemu Filipina dan membenam Timor Leste 5-0 sebelum ini pula seoalah-olah memberikan bayangan untuk mengisi salah satu slot ke separuh akhir.

Dalam satu lagi aksi Kumpulan A, Myanmar mengalahkan Kemboja 2-1 sekaligus berada di tanga teratas kumpulan dengan 10 mata.

Rentas7/ Foto FAM

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.