Undi berbelah bahagi, Pemuda PAS tuntut PRU15

Ir. Khairil Nizam Khirudin. 

KUALA LUMPUR-Perbezaan hanya dua undi memberikan isyarat Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 perlu diadakan bagi mengukuhkan kerajaan yang memerintah.

Saranan itu dibuat Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ir. Khairil Nizam Khirudin. 

Khairil berkata, pemuda PAS menyokong pertukaran speaker Dewan Rakyat dan lebih menyokong jika kerajaan mengadakan PRU-15 seawal yang boleh.

Beliau berkata, Pemuda PAS mengambil maklum berkenaan penukaran Speaker Dewan Rakyat yang telah diusulkan sendiri oleh Perdana Menteri Malaysia dalam persidangan Parlimen kali ini.

“Ia rentetan Speaker yang mengendali sidang kali ini masih lagi speaker yang dipilih di bawah bekas Kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Bagi Pemuda PAS, perlantikan speaker Datuk Azhar Azizan Harun, yang merupakan bekas Pengerusi SPR dengan keadaaan undi belah bahagi sebanyak 111 sokongan dan 109 yang tidak menyokong, memberi isyarat perlunya Kerajaan PN menyerahkan semula mandat pemilihan kepada rakyat bagi mengukuhkan kerajaan yang memerintah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan bagi mengulas isu pertukaran Speaker Dewan Rakyat hari ini.

Khairil berkata, prestasi kerajaan yang memberikan perkhidmatan terbaik dalam tempoh tidak sampai empat bulan berbanding PH dilihat menarik sokongan rakyat.

“Namun bagi pemuda PAS, jika isyarat pembubaran Parlimen ini adalah benar, maka seluruh jentera di semua peringkat perlu bersedia berhadapan dengan kemungkinan,” katanya.

Dalam pada itu Khairil berkata, suatu norma yang biasa apabila berlaku pertukaran kerajaan, pertukaran kedudukan penting dalam kerajaan juga akan berlaku mengikut kepada hala tuju yang ditetapkan kerajaan.

“Maka Pemuda PAS menyokong hasrat ini jika ianya memudahkan perjalanan urusan kerajaan dalam memberikan pentadbiran yang terbaik kepada rakyat Malaysia,” katanya.

Bagaimanapun katanya, Speaker tersebut yang terkenal dengan beberapa isu kontroversi berkaitan dengan isu Melayu dan Islam pastinya akan menimbulkan beberapa persoalan.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.