ATM rampas 660 ekor burung murai seludup, tahan 23 PATI

23 PATI warga Indonesia ditahan ATM

KOTA TINGGI-Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menahan 23 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia yang cuba pulang ke negara asal.

ATM turut merampas 660 ekor burung murai yang cuba diseludup keluar dari negara ini.

Sel Perhubungan Raya, Divisyen Ketiga Infantri Malaysia berkata, kesemua PATI it ditahan dalam Op Benteng di kawasan tanggungjawab Briged Ketujuh Infantri Malaysia (7 Briged) pada lewat malam semalam.

Menurutnya, pada operasi pertama, tim Quick Reaction Force (QRF) bersama Tim Dron dari Bahagian Staf Perisikan Pertahanan (BSPP) diatur gerak setelah menerima maklumat kehadiran sebuah bot.

“Bot berkenaan dalam keadaan mencurigakan di kawasan Pantai Sungai Rengit, Kota Tinggi, Johor

“23 PATI  berkenaan sedang menunggu bot untuk pulang ke negara asal berjaya ditangkap,”kata kenyataan hari ini.

Dalam serbuan berasingan, anggota petugas Pos Pemerhati di pesisir pantai Kampung Simon berjaya mengesan sebuah bot pancung yang sedang memindahkan barang ke dalam bot dan hasil serbuan.

Menurutnya, tim QRF yang dikerah ke lokasi berkenan telah menemui 66 buah bakul yang berisi 660 ekor burung murai dianggarkan bernilai RM 363,000.00 dipercayai cuba diseludup keluar tetapi penyeludup berkenaan telah berjaya melarikan diri.

“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM 394,410.95 termasuk rampasan PATI melibatkan wang tunai pelbagai jenis matawang, telefon pintar, barangan kemas serta beberapa utas jam tangan pelbagai jenama.

“Sebuah Proton Wira yang turut ditemui berhampiran lokasi tersebut dipercayai digunakan oleh Tekong Darat untuk membawa kumpulan PATI berkenaan,”katanya.

Kenyataan berkata, kesemua PATI yang ditahan telah dibawa ke Markas Taktikal Tanjung Sepang untuk menjalani pemeriksaan dan saringan COVID-19 sebelum diserahkan kepada pihak Jabatan Imigresen Malaysia.

“Manakala rampasan haiwan tersebut diserahkan kepada Jabatan Perhilitan Bandar Penawar untuk tindakan selanjutnya,”katanya.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.