Kilang keras kepala langgar SOP

KUALA LUMPUR– Majikan buta perut!

Itulah gambaran buat majikan beberapa buah kilang di Klang dan Shah Alam yang masih melanggar prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, ada kilang yang beroperasi walaupun tidak disenaraikan dalam perkhidmatan perlu bagi tempoh Perintah Kawalan Pergerakan PKP) 3.0.

“Ada juga kilang di Shah Alam dikenakan kompaun RM50,000 dan diarahkan tutup selama 14 hari kerana didapati beroperasi semasa PKP 3.0 walaupun syarikat mereka tidak tersenarai sebagai perkhidmatan perlu.

“Telah beberapa kali saya tegaskan, MITI tidak akan teragak-agak untuk mengeluarkan kompaun kepada mana-mana syarikat atau majikan yang langgar SOP,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain itu beliau berkata, ada majikan yang tidak memastikan pekerja mendaftarkan kehadiran dalam My Sejahtera apabila tiba di premis.

“Akibatnya, kilang itu telah dikompaun RM10,000 meskipun secara amnya terdapat pematuhan SOP yang baik,” katanya.

Beliau berkata, ketidakpatuhan SOP boleh meragut nyawa jika mereka dijangkiti Covid-19.

Terdahulu, beliau bersama Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Alaxender Nanta membuat lawatan mengejut di beberapa buah kilang di Klang selepas menerima aduan awam.

Jika terdapat sebarang aduan mengenai pelanggaran SOP ini, orang ramai boleh membuat aduan kepada covid19aduan@miti.gov.my.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.