Kerajaan dicadang gandakan bantuan dan tambah fasa bantuan tunai kepada rakyat

Datuk Mustaffa Idrus

 

SUNGAI PETANI– Bantuan tunai kepada rakyat perlu diganda serta tempoh fasa ditambahkan bagi memastikan survival mereka bertahan lama.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Warisan Negeri Kedah merangkap Pengerusi Biro Perhubungan Awam Warisan Negeri Kedah, Datuk Mustaffa Idrus berkata, perkara itu perlu diberikan tumpuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Belanjawan 2023 Jumaat ini.

Menurutnya, tekanan ekonomi serta kehilangan pekerjaan membebankan rakyat Malaysia khususnya bagi mereka yang mempunyai komitmen tinggi.

“Jika bantuan boleh digandakan termasuk menambahkan tempoh fasa bantuan sedia ada, saya yakin banyak masalah rakyat boleh diselesaikan.

“Contohnya, bantuan fasa kedua dikreaditkan dua bulan selepas fasa pertama dan begitulah seterusnya hingga hujung tahun,”katanya.

Beliau berkata, Warisan mencadangkan rakyat menerima enam atau tujuh fasa bantuan setahun.

“Kita ambil contoh enam fasa bantuan bermula Januari. Ia bermakna rakyat akan menerima fasa kedua dan seterusnya pada Mac, Mei, Julai, September dan November.

“Warisan Kedah berharap kerajaan dapat menerima cadangan ini bagi memastikan aliran tunai rakyat dan negara terus berjalan baik dan lancar.

“Berkonsepkan kerajaan Madani, saya yakin Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menimbangkan pandangan ini demi membantu golongan rakyat bawahan.

“Bagi kerajaan yang banyak hasil seperti Malaysia, kaedah seperti itu tidak sukar dilaksanakan. Kami sedia dijemput untuk membantu kerajaan melaksanakan kaedah berkenaan,”katanya.

RENTAS7

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.