“Ibu di mana? pulanglah.. kami rindu”

Adik beradik itu bersama nenek mereka

BALING– Lima adik beradik kematian bapa menanti kepulangan ibu mereka yang telah menghilangkan diri hampir dua tahun.

Mereka adalah Nur Azmilawati R Azmi (17 tahun), Nur Syaira Arley R Azmi (14 tahun), Nur Asma Fatehah R Azmi (11 tahun), Muhammad Putera Aedrean R Azmi (7 tahun) dan Puteri Nur Aryana R Azmi 3 tahun).

Yang Dipertua Briged Bakti Malaysia (BBM) Cawangan Negeri Kedah, Md Tahir Saad berkata, lima beradik itu tinggal di Kampung Besah, Tawar dalam DUN Kuala Ketil dan kini dipelihara datuk dan nenek mereka iaitu Che Ahmad Che Lah,60, dan Zaleha Ramli,54,.

“Che Ahmad menyara keluarga ini dengan hasil upah menoreh getah. Pasangan suami isteri ini menumpang atas tanah milik bapa saudara tok Wan,”katanya.

Md Tahir berkata, ibu pada anak-anak itu berusia 39 tahun.

“Dia menghilangkan diri hampir dua tahun iaitu enam bulan selepas kematian suaminya sehinggalah sekarang.

“Sejak dari itu si ibu tidak pernah balik ziarah anak-anak dan keluarga. Almarhum ayah pada anak ini pula meninggal dunia tiga tahun lepas di Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar,”katanya.

Katanya, kesemua adik- beradik itu amat merindui dan menagih kasih sayang daripada ibu yang hilang tanpa khabar berita.

“Mereka amat berharap wanita itu pulang meraikan lebaran yang bakal tiba bersama-sama keluarga,”katanya.

Menurutnya, dua daripada lima beradik itu yang berumur 11 dan 14 tahun bersekolah dibawah kelolaan Rumah Anak Yatim Al Hidayah Kupang.

“Kakak sulung pula bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan ( SMK) Kuala Pegang, Baling dengan berulang alik ke sekolah lebih kurang lapan kilometer pergi balik.

“Dia mengambil keputusan berulang alik ke sekolah supaya dapat bersama-sama tok dan tok wan demi menjaga dua adik-adiknya yang masih kecil,”katanya.

Tambahnya, hanya dua daripada lima beradik iaitu yang berusia tiga tahun dan tujuh tahun menerima bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) iaitu sebanyak RM100 setiap seorang.

“BBM akan mengunjungi keluarga ini sekali lagi dalam tempoh terdekat bagi bantuan berikutnya,”katanya.

Terdahulu, Md Tahir bersama kru BBM tampil menziarahi dan menyampaikan sumbangan stok makanan kepada keluarga tersebut pada 22 April lalu.

Pada yang ingin membantu keluarga ini boleh hubungi BBM Kedah 0162125574 untuk koordinasi atau boleh hubungi terus Nur Azmilawati 0134130308.

Atau salurkan melalui BSN
0212641000085056
(ZALEHA BINTI RAMLI)

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.