“Kami tidak pernah meminta untuk disanjungi cukuplah sekadar mendoakan kami”

BALING- Empat jururawat dari Hospital Baling hari ini dipanggil bertugas di Hospital Alor Setar bagi memberikan khidmat rawatan menangani COVID-19

Mereka adalah Syarifah Samsiah Syed Mohdi, Sabariah Mahmood, Haniza Adnan dan Norzuraida Rosedi.

Menerusi perkongsian akaun Facebook Hospital Baling, mereka ialah kumpulan pertama terpilih berkhidmat di Hospital Alor Setar bagi misi berkenaan.

“Di saat orang lain mengawal pergerakan mengikut arahan pemerintah, kami jururawat juga mengikut arahan bila diarahkan untuk bersama berganding bahu dan memberi khidmat bakti di saat negara menghadapi cabaran perangi COVID-19.

“Biar pun terasa sayu apabila terpilih namun hati mereka sangat kental dan tidak sedikitpun membantah..malah akur untuk pergi memberi khidmat bakti ..jiwa jururawat sememangnya kental dalam apa jua situasi,”tulis pentadbir Facebook Hospital Baling.

Katanya, ketika tiada siapa yang sanggup berdepan dengan virus COVID-19, namun jururawat tetap merelakan diri.

“Mereka kental saat dihina dan dicaci..mereka juga kental disaat tiada siapa yang sanggup merelakan diri berhadapan dengan Virus COVID-19.

“Sesungguhnya sangat murni dan tingginya pengorbanan jururawat..kami tidak pernah meminta untuk disanjungi cukuplah sekadar mendoakan kami supaya terus sihat, kuat dan dapat bertugas dalam keadaan yang selamat.

“Doakan juga untuk anak-anak dan keluarga yang kami tinggalkan supaya mereka juga tabah sewaktu ketiadaan kami bersama mereka,”katanya.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.