Sebelum jawatan menteri gugur, Khalid rasmi pesta belon

KUALA LUMPUR– Menyempurnakan Majlis Pra Pelancaran Fiesta Belon Udara Panas Antarabangsa Putrajaya 2020 menjadi tugasan hari terakhir buat Khalid Samad sebagai Menteri Wilayah Persekutuan.

Menerusi tinjauan di media sosial, ia aktiviti terakhir Khalid yang dimuat naik pada pagi tadi sebelum lantikan menteri Kabinet dibatalkan malam ini.

“Pagi ini saya berkesempatan Menyempurnakan Majlis Pra Pelancaran Fiesta Belon Udara Panas Antarabangsa Putrajaya 2020,” kata kenyataan di Facebooknya.

Khalid menaiki belon udara pada hari terakhir sebagai Menteri Wilayah Persekutuan

Dalam perkongsian di Facebook turut menunjukkan Khalid menaiki belon udara.

Khalid yang juga bekas Pengarah Komunikasi Amanah antara pemimpin aktif berkongsi aktiviti di media sosial.

Seorang pengguna Zahir Yazid menulis di ruangan komen : Tahniah sempat juga merasa majlis terakhir,”tulisnya.

“Tahniah dato, usah pedulikan apa yang berlaku, yang penting naik belon bukan biasa-biasa,” tulis seorang lagi bernama Lim Tat.

Terdahulu, Pejabat Ketua Setiausaha Negara memaklumkan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Bilah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah telah berkenan membatalkan pelantikan menteri-menteri sebagaimana nasihat Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perkara itu dibuat berdasarkan peruntukan Perkara 43(5) Perlembagaan Persekutuan pada 24 Februari 2020 selaras dengan peletakan jawatan Perdana Menteri.

Siang tadi, Tun Dr Mahathir Mohamad meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri termasuk melepaskan jawatan sebagai Pengerusi Bersatu.

Bagaimanapun beliau dilantik sebagai Perdana Menteri interim sementara menunggu pelantikan Perdana Menteri yang baharu.

Lantikan Perdana Menteri interim dibuat mengikut Perkara 43 (2) (a) Perlembagaan Persekutuan.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.