Kaji semula SOP solat jarak di zon hijau

Mustaffa Idrus

SUNGAI PETANI– Kerajaan digesa mengkaji semula langkah menjarakkan saf jemaah di kawasan zon hijau.

Pengerusi Angkatan Melayu Negeri Kedah, Datuk Mustaffa Idrus berkata, jemaah dipisahkan saf sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu.

“Hampir setahun kita tak boleh solat jemaah seperti biasa. Di awal penularan, Prosedur Operasi Standard (SOP) begini boleh diterima.

“Namun apabila sudah banyak daerah yang zon hijau tapi masih dikenakan arahan serupa, saya fikir kerajaan perlu kaji semula larangan solat berjarak,”katanya hari ini.

Beliau berkata, kerajaan disaran mencontohi pihak berkuasa agama Thailand yang lebih proaktif bertindak.

“Seperti laporan media, di sana tidak lagi solat berjarak bagi kawasan yang tiada lagi penularan wabak COVID-19.

“Saya tak mahu menyentuh isu ini mengikut tuntutan Syarak kerana pastinya pihak berkuasa lebih tahu dan arif.

“Maka PAMM berharap larangan solat berjarak dalam zon hijau ini dikaji semula,”katanya.

Tambahnya, banyak hadis sahih yang meriwatkan soal merapatkan saf.

“Dari Anas bin Malik Rasulullah S.A.W bersabda: Luruskan saf kerana meluruskan saf merupakan sebahagian daripada kesempurnaan solat,” (Riwayat al-Bukhari no 723 dan Muslim no 433).

Mustaffa berkata, saranan beliau diharap difahami dengan maksud yang baik.

“Saya bukanlah anti SOP. Tidak sama sekali.

“Tetapi apabila ia melibatkan agama, tambahan pula di zon hijau, maka saya rasa amat wajar larangan ini dikaji semula.

“Selain saf, banyak lagi SOP yang kita lihat bertentangan dengan arahan agama, namun buat waktu ini cukup kita sebut dan selesaikan isu ini dahulu,”katanya.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.