APMM temui senjata dalam sebuah bot misteri..

SANDAKAN-Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menemui selaras senapang buatan sendiri (bakakuk) bersama tiga butir peluru dalam sebuah bot.

Senjata api itu ditemui dalam sebuah bot tidak berdaftar di kawasan Sungai Beluran di sini kelmarin.

Pengarah Zon APMM Sandakan, Kepten Maritim Zainudin Mohd Zuki berkata, bot berkenaan didapati dalam keadaan mencurigakan dari arah laut ke pekan Beluran.

“Dalam kejadian pukul 11.06 pagi, bot Maritim Malaysia yang melakukan rondaan Op Pluto Timur telah terserempak dengan sebuah bot kayu dalam keadaan mencurigakan dari arah laut menuju ke Pekan Beluran.

“Menyedari kehadiran anggota penguatkuasa Maritim Malaysia, bot tersebut kemudiannya terus memecut laju ke arah hutan nipah dalam kawasan Sungai Beluran,”katanya dalam satu kenyataan semalam.

Pegawai APMM menunjukkan senjata yang ditemui dalam not tersebut

Beliau berkata, ketika bot tersebut berjaya dihampiri pada pukul 11.24 pagi pemilik bot dipercayai telah melarikan diri masuk ke kawasan hutan berhampiran.

“Hasil pemeriksaan lanjut ke atas bot kayu tidak bernombor itu, kami tidak menemui sebarang dokumen.

“Bot yang menggunakan enjin 15 kuasa kuda itu diperiksa dan telah menemukan senapang bakakuk kira-kira tiga kaki panjang di dalam sebuah beg yang diletakkan di bawah lapisan kayu bot. Sebuah beg kecil lagi dijumpai berisi tiga butir peluru di tempat yang sama,”katanya.

Mohd Zuki berkata, bot tersebut dibawai ke Jeti Pos Maritim Beluran untuk diserahkan kepada Pegawai Penyiasat untuk disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960

Beliau turut mengingatkan agar komuniti maritim sentiasa bekerjasama dengan pihak Maritim Malaysia dalam menyalurkan sebarang maklumat berkaitan dengan aktiviti menyalahi undang-undang atau kecemasan di laut dengan menghubungi terus bilik operasi 24 jam Zon Maritim Sandakan di talian 089-229504 atau talian MERS 999.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.