Isu kuil: Tak perlu bimbang jika ikut undang-undang

Muhammad Sanusi Md Nor

ALOR SETAR-Tiada struktur binaan yang akan dirobohkan sekiranya pembinaannya mengikut lunas undang-undang.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, sebarang struktur akan dijamin keabsahannya oleh undang-undang jika pembinaannya selari dengan kehendak undang-undang.

“Pemilik struktur binaan yang telah melalui proses kelulusan pihak berkuasa tidak perlu diselubungi sebarang kebimbangan,” katanya dalam satu kenyataan malam ini bagi mengulas tuntutan NGO Hindu mahu Menteri Besar Kedah memberikan jaminan untuk tidak meruntuhkan lagi kuil.

Muhammad Sanusi berkata, tiada sesiapapun berhak memberi apa-apa jaminan di luar batas undang-undang negara ini.

“Sekiranya terdapat struktur yang dibina membelakangi undang-undang, alanglah baiknya jika ia dapat dipindahkan atau dibuka atau dirobohkan sendiri pemiliknya tanpa penglibatan penguatkuasa undang-undang,” katanya.

Menurutnya, set undang-undang yang setara dan seragam untuk melindungi setiap warga amatlah penting untuk dipatuhi oleh semua pihak.

“Dengan demikianlah keharmonian dan keamanan dalam masyarakat berbilang kaum dan agama dapat dipupuk dan dipelihara sepanjang masa,” katanya.

Sebelum ini dua buah kuil yang dibina secara haram iaitu di Kuala Kedah dan Alor Setar telah dirobohkan pihak berkuasa.

Selain kuil, pihak berkuasa juga merobohkan binaan-binaan lain yang tidak mematuhi undang-undang bagi membangunkan prasarana awam untuk rakyat.

Rentas7.com/ foto: Upda

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.