Rafizi tak upaya uruskan ekonomi, PAMM tuntut hentikan kenyataan

Datuk Mustaffa Idrus

SUNGAI PETANI– Persatuan Angkatan Masyarakat Melayu (PAMM) Negeri Kedah menyifatkan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli tidak berupaya menyelesaikan masalah ekonomi dan kenaikan harga barang dengan formulanya.

Pengerusi PAMM, Datuk Mustaffa Idrus berkata, Rafizi dilihat tidak berupaya membawa ekonomi Malaysia ke arah lebih baik.

“Beliau setakat ini dilihat tidak mampu menggalas tugas dengan baik walaupun sering menyatakan sebaliknya.

“PAMM bimbang Rafizi sekadar berkata-kata sedangkan beliau tidak mampu menyelesaikan masalah ekonomi rakyat dan negara,”katanya kepada pemberita hari ini.

Mustafa berkata, Rafizi diminta tidak lagi mengeluarkan sebarang kenyataan pelik dan jelik kerana ia membuatkan rakyat lebih tertekan.

“Waktu kita menghadapi krisis telur, kenaikan harga barang termasuk ekonomi tidak menentu ini, semua menteri termasuk Rafizi diminta tidak mengeluarkan kenyataan merapu.

“Kenyataan-kenyataan yang tidak wajar dikeluarkan beliau dikhuatiri menyebabkan tekanan kepada rakyat,”katanya.

Mustafa berkata, kerajaan perlu segera memberikan tumpuan kepada kenaikan harga barang kerana kegagalan berbuat demikian tidak akan menyelesaikan masalah ekonomi rakyat.

Dalam pada itu, Mustaffa berkata, kerajaan perlu bertindak mencari formula baharu dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk NGO.

“Kita lihat kerajaan seperti tidak mampu bertindak sendirian selepas apa terjadi ketika ini. Rafizi sendiri telah terduduk walaupun sebelum itu menyelar pihak lain akan terduduk.

“Oleh itu kerjasama dan bantuan NGO khususnya perlu dilibatkan. Konsesus bersama akan membantu kepada matlamatnya,”katanya.

RENTAS7

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.