PH goyang, PAS dijangka tadbir Kedah dalam tempoh terdekat

ALOR SETAR– PAS Kedah bersiap sedia mengambil alih pemerintahan kerajaan negeri Kedah ekoran kepincangan Pakatan Harapan (PH).

Pesuruhjaya PAS Negeri Kedah, Ahmad Yahaya berkata, kepincangan dan perpecahan yang berlaku dalam PH Kedah sukar dikawal lagi.

Menurutnya, gabungan itu semakin memperlihatkan kelemahan dalam mengawal selia negeri Kedah.

“Kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sidam, Dr. Robert Ling Kui Ee pada Isnin, 4 Mei lalu melalui akaun Facebooknya yang mempertikaikan keputusan pemecatan timbalannya di Cabang PKR Sungai Petani dan ramai lagi kepimpinan cabang di Kedah memperlihatkan Adun itu sudah tidak sehaluan dengan kepimpinan PH Kedah.

“Bakal ada beberapa Adun PKR lain akan mengikuti langkah beliau dan ia mengurangkan jumlah kerusi penguasaan PH,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahmad Yahaya berkata, Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir sekarang bukan lagi pengerusi PH Kedah dan tiada kuasa menyekat pergerakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dalam kompenan itu.

“Beliau hanya mampu melihat tanpa berhak mencatur pergerakan Adun PH daripada PKR kerana dari sudut gabungan, PKR dan Bersatu tidak lagi sehaluan.

“Mukhriz juga dalam keadaan amat lemah kerana daripada enam ADUN Bersatu Kedah, tidak sampai separuh yang berpihak kepadanya memandangkan banyak kelemahan yang gagal diperbaiki Mukhriz.

“ADUN-ADUN dalam Parti Bersatu Pribumi Malaysia (Bersatu) Kedah juga dilihat canggung dengan tindakan Bersatu Kedah yang masih berkerjasama dengan PH untuk menjadi negeri pembangkang yang sekaligus melawan arus kerana Perdana Menteri adalah Presiden parti mereka sendiri,”katanya.

Menurutnya, PH pada dasarnya telah tempang dan kehilangan majoriti untuk menerajui kerajaan negeri Kedah, perubahan kerajaan negeri sudah tidak dapat dielakkan lagi.

“Justeru, PAS Kedah yang memiliki 15 kerusi Dun di Kedah, jumlah paling tinggi dalam kalangan parti yang ada di Kedah bersedia menerajui pentadbiran kerajaan negeri ini.

“Atas semangat Muafakat Nasional PAS-Umno, kami memiliki lagi dua kerusi milik Umno menjadikan kesemuanya 17 kerusi DUN,”katanya

Ahmad berkata, keyakinan itu mengambil kira kredibiliti calon menteri besar dalam kalangan ADUN PAS yang mempunyai pengalaman dan rekod yang bersih sepanjang bersama dalam kerajaan negeri ketika era PAS mentadbir Kedah 2008-2013 lalu.

“Kecelaruan iklim politik yang dipamerkan PH ini telah memberikan kesan negatif terhadap penumpuan memajukan negeri dan rakyat menerima tempias buruk akibat perbalahan pemimpin PH,”katanya.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.