Hina Jalur Gemilang perbuatan sangat melampau

 

ARAU– Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin menggesa pihak yang sengaja menghina bendera Jalur Gemilang dikenakan tindakan tegas.

Beliau berkata, tindakan seumpama itu adalah perbuatan yang sangat melampau.

“Penghinaan terhadap bendera negara oleh pihak yang diberikan kerakyatan merupakan satu perbuatan yang sangat melampau yang mesti diambil tindakan,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Gambar Jalur Gemilang dengan bintang berbucu lima tular di media sosial

Beliau berkata demikian dipercayai mengulas isu bendera Malaysia dengan bintang berbucu lima yang dipasang pada perasmian Kejohanan Bola Keranjang ke-28 di Stadium Bola Keranjang, Jalan Hang Jebat, Kuala Lumpur, semalam.

Beliau berkata, sejauh mana kerajaan bertindak dalam isu ini akan dinilai oleh rakyat.

“Rakyat akan melihat sejauh mana ketegasan kerajaan terhadap golongan yang diberi peluang hidup dalam negara ini tapi menghina negara.

“Jika mereka terlepas, ia menunjukkan sama ada kerajaan tidak serius dalam isu sebegini atau kerajaan boleh dipersendakan.

“Kedua-duanya buruk untuk masa depan sebuah kerajaan yang ingin menguruskan negara secara berdaulat,”katanya yang meminta ketegasan kerajaan untuk bertindak.

Terdahulu, tular video yang menunjukkan bendera Malaysia dengan bintang berbucu lima ditayangkan ketika peserta dan tetamu menyanyikan lagu Negaraku pada kejohanan bola keranjang di stadium berkenaan.

Pengguna media sosial turut menerima gambar bendera berkenaan yang tertera perkataan ” Proven.Trusted.Freindly” bersama logo Westport yang menaja kejohanan itu.

Tindakan mencemarkan imej Jalur Gemilang itu mengundang kemarahan pelbagai pihak.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.