SIHANOUK– Sebut saja tentang Amerika Syarikat, pastinya kita membayangkan sebuah negara yang maju serta kuasa besar dunia yang kuat!
Siapa tak kenal Amerika? Sebuah negara yang cukup anti dengan dunia Islam di serata dunia. Bahkan licik dalam memporak-peranda dunia Islam.
Iraq, Kuwait, Syria, Palestin dan banyak negara Islam lain musnah gara-gara campur tangan negara itu bersama sekutunya regim Zionis.
Tetapi tahukah anda? di Kemboja sebuah bangunan tahfiz Madrasah Al Muhajirin yang terletak di Kampung Ochrov, Sihanouk, Kemboja dibina oleh kerajaan Amerika Syarikat.
Guru Madrasah Al Muhajirin, Zaini Harun berkata, sebuah bangunan dua tingkat menempatkan asrama dan kelas wanita disumbangkan oleh Amerika Syarikat.
Menurutnya, sumbangan khas itu diberikan sebagai hadiah oleh Amerika Syarikat yang “malu” selepas gagal membuktikan Mudir Madrasah Al Muhajirin sebagai pengganas.
“Pada tahun 2009, Ustaz Zainal Abdul Majid iaitu Mudir Madrasah Al Muhajirin dituduh sebagai pengganas oleh Amerika Syarikat.
“Ustaz Zainal ditahan dan disoal oleh kerajaan negara itu,”katanya dalam pertemuan ekslusif dengan Rentas7.com.
Namun katanya, Amerika Syarikat yang tiada bukti di atas segala tuduhan dilemparkan akhirnya mengesahkan Ustaz Zainal tidak bersalah.
“Pada tahun 2012, Amerika Syarikat yang berasa malu membina dan hadiahkan bangunan ini kepada pihak madrasah.
“Binaan bangunan mengikut ciri-ciri bangunan klasik di Amerika.
“Tingkat bawah kami dijadikan kelas murid dan tingkat atas penginapan asrama,”katanya.
Beliau berkata, kerajaan Amerika turut menyumbangkan mesin jana kuasa elektrik kepada madrasah.
Menurutnya, mesin itu dapat menampung bekalan elektrik bagi satu wilayah di Sihanouk.
“Mesin itu kami tidak gunakan lagi kerana ia memerlukan kuantiti minyak petrol yang banyak. Pihak tahfiz tak mampu menampung keperluannya.
“Dulu mesin itu digunakan sebulan sekali, sekarang ini madrasah menggunakan bekalan elektrik kerajaan,”katanya.
Ketika berada di madrasah ini, wartawan Rentas7.com tidak berkesempatan bertemu Ustaz Zainal kerana beliau sedang berada di Kelantan.
Tambah Zaini, bertentangan bangunan berkenaan dibina sebuah surau sumbangan dari Arab Saudi.
Madrasah Al Muhajirin merupakan satu-satunya tahfiz dinina di wilayah Sihanouk menempatkan 90 pelajar wanita, 170 pelajar lelaki dan 20 orang guru.
Rentas7.com
1
2
4.5
4
3
5
1