Sungai Batu bakal bongkar identiti sebenar bangsa Melayu

MERBOK– PAS Kedah bersedia memberikan kerjasama kepada Kerajaan Pusat mahupun negeri dalam segenap aspek bagi membangunkan tapak Arkeologi Sungai Batu, Merbok

Pesuruhjaya PAS Kedah, Ahmad Yahya berkata, daripada sudut politik, PAS akan memberikan perhatian kepada sejarah penting berkenaan.

Menurutnya, tapak Arkeologi Sungai Batu bakal mengangkat identiti ketamadunan Melayu yang bertapak lebih awal daripada tamadun-tamadun lain.

“Selalu dilihat bangsa Melayu dengan pandangan negatif, malas dan sebagainya.

“Tetapi apa yang akan terbongkar di sini akan memberikan gambaran siapa sebenarnya bangsa kita,”katanya kepada media ketika ditemui di tapak Arkeologi Sungai Batu di sini, hari ini.

ADUN-ADUN diberikan penerangan oleh Mokhtar Saidin (dua dari kanan)

Ahmad berkata, masih banyak pihak perlu terlibat dalam melakukan kajian dan penyelidikan di situ.

“Apabila wujudnya perdagangan, wujudnya industri besi sudah tentu ia perlu ada kerajaan yang mentadbir.

“Cumanya persoalan sekarang ini ialah kerajaan apakah yang memerintah pada waktu itu?

“Maksudnya ada banyak lagi pihak perlu terlibat sampai kita boleh bongkar sejarah kita yang sebenar,”katanya.

Tapak ratual yang ditemui pasukan penyelidik

Dalam pada itu Ahmad berkata, kesungguhan PAS bagi melihat sejarah di kawasan itu dibongkarkan telah dimulakan ketika pemerintahan bekas Menteri Besar Kedah, Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak.

Menurutnya, diakui pihak berkaitan, kerajaan negeri ketika itu membantu dan memudahkan proses berkaitan penukaran hak milik tanah, syarat dan sebagainya.

“Ini membuktikan kepimpinan kita yang lalu telah melihat ini satu yang berpontensi pada masa depan.

“Jika kawasan ini dibuka sebagai satu tempat pelancongan, secara tidak langsung ia akan mewujudkan projek-projek hiliran untuk rakyat,”katanya.

Seluas 30.5 hektar tanah di kawasan tersebut telah dibeli Jabatan Warisan bagi tujuan penyelidikan arkeologi sejarah awal ketamadunan negara.

Terdahulu, Ahmad beserta seramai 15 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kedah melawat tapak Arkeologi Sungai Batu bagi mendapatkan penerangan lebih jelas berkaitan sejarah Kedah Tua.

Mereka diberi taklimat penuh lebih Dua jam oleh Profesor Datuk Dr Mokhtar Saidin daripada Universiti Sains Malaysia (USM).

Sebagai rekod, Sungai Batu ialah satu catatan penting bagi sejarah Kerajaan Kedah Tua sejak kurun ke -8 hingga ke-11 sebelum Masihi.

ADUN PAS bergambar kenangan di kawasan tapak pelaburan besi

Antara penemuan penting di kawasan tersebut ialah tapak ratual, tapak jeti pelabuhan, tapak peleburan besi,relau (alat lebur besi) dan tuyere (peniup angin) iaitu peralatan penting bagi industri kuno peleburan besi.

 

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.