Himpunan aman desak batal lesen arak

Datuk Mustaffa Idrus

SUNGAI PETANI-Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) akan menggerakkan perhimpunan aman bagi mendesak kerajaan membatalkan lesen perkilangan arak di Malaysia.

Pengerusi Perhubungan PUTRA Kedah Datuk Mustaffa Idrus berkata, orang ramai dijemput untuk menyertai himpunan itu.

“Kita akan adakan perhimpunan aman di pekarangan Pejabat PUTRA Kedah di Sungai Petani pada 26 Oktober ini. Perhimpunan Selasa ini telah kita maklumkan kepada pihak polis.

“Kita akan menuntut kerajaan membatalkan lesen perkilangan arak di Malaysia. Arak amat jijik untuk terus dijual di pasaran negara ini,”katanya hari ini.

Beliau berkata, selain tuntutan membatalkan lesen arak, demontrasi itu nanti juga sebagai satu peringatan keras kepada golongan yang sengaja menimbulkan provokasi kepada umat Islam negara ini.

“Usaha yang PUTRA lakukan demi Islam dan maruah bangsa Melayu yang dihina dengan pengunaan nama Omar dan Timah sebagai jenama arak.

“Perkara ini tidak boleh dibiarkan lagi, selepas ini mungkin musuh Islam akan menggunakan nama lain pula untuk menghina Islam,”katanya.

Beliau berkata, golongan yang sengaja memainkan sentimen agama pada benda atau tempat yang menyakiti hati umat Islam perlu bimbang dengan kemarahan umat Islam.

“Jangan suka-suka menghina agama Islam, kami bangsa Melayu diam bukan beerti kami takut atau reda apa yang kamu lakukan.

“Jangan sampai umat Islam negara ini hilang kewajaran. Kena ingat sabar ada hadnya,”katanya.

RENTAS7

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.