Hikmah kekalahan JDT untuk Tan Cheng Hoe

Shukor Adan menjulang Piala Malaysia selepas Kuala Lumpur City menewaskan JDT malam tadi

KUALA LUMPUR-Ego JDT sebagai pencabar utama bola sepak di Malaysia tercalar selepas tewas 2-0 kepada Kuala Lumpur City di pentas final Piala Malaysia di Stadium Bukit Jalil malam tadi.

Kekalahan itu pasti sukar diterima JDT sebagai juara Liga Super 2021 apatah lagi mereka mengasak bertubi-tubi lawan pada separuh masa pertama hingga hampir di depan melalui rembatan Bergson da Silva yang terkena palang.

Gawang JDT dirobek Zhafri Yahya minit ke-66 dan Pualo Josue pada minit ke-74 sekaligus memberikan kejuaraan kepada skuad ibu kota untuk menjulang Piala Malaysia selepas 32 tahun.

Kekalahan JDT bukan sahaja satu petanda kepada kebangkitan pasukan lain di Malaysia, tetapi memberikan hikmah tersendiri untuk skuad kebangsaan yang akan mengharungi Piala AFF Suzuki 2020 lima hari lagi.

Umum tahu, skuad kebangsaan tidak dapat menggunakan khidmat empat tonggak utama JDT.

Mereka adalah Arif Aiman Hanafi, Corbin Ong, Matt Davies dan La Vere Corbin Ong.

Keempat-empat pemain ini tidak berada dalam senarai 28 pemain yang menjalani latihan di kem latihan pusat.

Timbul pelbagai persoalan mengapa mereka tidak dipilih walaupun menampilkan aksi terbaik dalam JDT dan ketika bersama skuad kebangsaan sebelum ini.

Apa pun sebab dan alasan, kekalahan JDT malam tadi membuktikan tidak semestinya skuad negara tidak boleh ke pentas akhir Piala AFF Suzuki seperti ditetapkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) meskipun tanpa tonggak JDT.

Cheng Hoe seharusnya yakin dengan pemain sedia ada yang dipanggil untuk menggalas tanggungjawab di Singapura.

Tewas 2-0 JDT kepada Kuala Lumpur City seakan menyatakan skuad dipimpin Cheng Hoe kali ini lebih baik dan berkualiti.

Ia juga memberikan pengajaran kepada Cheng Hoe supaya menilai secara keseluruhan pemain dari kelab-kelab lain dan tidak mengutamakan pemain JDT semata-mata.

RENTAS7/ Foto: Malaysian Football League

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.