Gas bocor di Kulim? Penduduk cemas

KULIM– Misteri bau busuk menyelubungi Penduduk Taman Kulim Utama fasa 1, Kulim Hi-Tech Park malam tadi.

Mereka bimbang sekiranya bau itu akibat kebocoran gas dari sebuah kilang di sekitar itu.

Penduduk mendakwa bau itu dihidu sekitar jam 11 malam dan perkara itu mengundang ketidakselesaan dan kebimbangan kepada mereka.

Seorang penduduk hanya ingin dikenali sebagai Zul,45, berkata, bau sangat busuk itu dipercayai dari gas yang bocor.

Dakwanya, ada penduduk mengalami pening kepala akibat bau tersebut.

“Semalam bau itu sangat busuk .Tak pernah ada bau sekuat itu sebelum ini.

“Bila jadi macam ini, saya amat bimbang keselamatan keluarga. Tambahan pula di taman ini ada banyak tadika yang beroperasi,”katanya.

Seorang lagi penduduk mendakwa, pada sekitar jam 10 hingga 11 malam, berlaku perubahan warna terhadap air penapis udara.

Dakwaan yang mengatakan berlaku perubahan warna pada air penapis udara

Seorang lagi penduduk, Imran,47, berkata, bau busuk itu sememangnya dihidunya.

“Tetapi saya tak pasti dari mana dan apa puncanya. Jika betul ada kebocoran gas dari mana-mana kilang, saya harap pihak terbabit tak buat main.

“Jangan sampai ada yang mati, baru nak ambil tindakan,”katanya.

Tambahnya, kerajaan negeri diharap dapat melakukan siasatan berhubung bau berkenaan termasuk melakukan pemantauan kepada keselamatan penduduk di situ.

“Kami tak mau apa yang berlaku di Pasir Gudang Johor berlaku pula di sini,”katanya.

Menerusi satu hantaran tangkap layar  dipercayai daripada pekerja kilang itu, kebocoran gas dikatakan benar berlaku.

Maklumat daripada kumpulan WhatsApp penduduk pagi tadi  yang mengatakan gas itu bocor dalam tangkap layar di bawah:

Satu lagi tangkap layar dipercayai daripada pekerja kilang tersebut, individu itu mengatakan kilang berkenaan pernah berlaku kebocoran gas, namun baunya tidak merebak hingga ke luar kawasan kilang.

“Selalunya kalau ada kebocoran gas dalam (****), tak penah bau tu sampai ke luar. Even kami yang duduk dalam pejabat pun tak berbau.

“So, for case ni sy tak sure lah betul ke x sbb gas bocor atau sebab lain..,”tulis individu tersebut.

Dalam pada itu, Rentas7 dimaklumkan lebih 3,000 penduduk menetap di taman berkenaan.

Rentas7 akan mendapat jawapan daripada Ahli Dewan Undangan (ADUN) kawasan terbabit dalam tempoh terdekat.

Rentas7

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.