Laporan: Yunus Soffat
PATANI – “Di hari ini kita sudah buktikan, kita tidak akan takut, kita akan terus menerus, berderus sehingga syahid,”
Begitu kata-kata penuh keramat yang dilaungkan dalam Himpunan Melayu Raya 1447H pada 3 Syawal, yang disambut dengan laungan Allahuakbar oleh puluhan ribu suara yang menyatu ke udara.
Tekad yang dizahirkan itu menyatakan kesediaan rakyat Patani untuk bangkit dihormati walaupun menerima pelbagai bentuk tekanan termasuk ancaman nyawa.
Dalam ucapan Melayu Raya di Pantai Teluban, aktivis Patani, Mohd Aladi Zakariya, menegaskan bahawa pemuda Patani tidak pernah takut walaupun ada pihak cuba melakukan pelbagai tekanan termasuk dengan cubaan membunuh.
“Usaha buat macam-macam supaya fok (orang-orang) kita ini takut, kelmarin sahaja mereka bedil, alhamdulillah Wae Yuhe (Ahli Parlimen Narathiwat daripada parti Prachachat, Komansok Liwamoh) selamat daripada penjahat-penjahat yang ingin membunuh dia.
“Mereka anggap setelah mana mereka menembak Wae Yuhe, fok-fok kita kho (semakin) takut lagi,” katanya.
Namun katanya, Himpunan Melayu Raya yang berjaya diadakan membuktikan sebaliknya bahawa rakyat Patani tidak gentar.
“Alhamdulillah bila saya dengar, dan tengok fok-fok kita mari di hari ini, saya rasa sangat-sangat gembira,”
Sementara itu, beliau menjangkakan mahkamah akan memutuskan hukuman terhadap sembilan aktivis yang dihadapkan ke mahkamah pada hujung tahun ini.
Kesembilan aktivis termasuk Aladi diheret ke mahkamah oleh kerajaan hanya kerana mereka menganjurkan Himpunan Melayu Raya pada edisi sebelum ini dan mempromosikan budaya tempatan termasuk pemakaian Melayu berkonsepkan Melayu Raya.
Justeru, beliau meninggalkan pesan kepada pemuda dan pemudi Patani bahawa apa-apa pun yang terjadi kepada mereka, Himpunan Melayu Raya perlu diteruskan sehingga bila-bila.
Dalam ucapannya, Aladi turut menegaskan kepada Pegawai Polis Penyiasat Kerajaan Thailand bahawa Himpunan Melayu Raya dilaksanakan dengan mengekalkan semangat damai bermoral serta berlangsung secara aman tanpa sebarang kekacauan.
Himpunan Melayu Raya 1447H membawa tema “Melayu Berkualiti, Maruah Terpuji dan Patani Dihormati” serta dihadiri puluhan ribu anak watan Patani Darussalam.
RENTAS7








Leave a Reply