Gangguan elektrik pulih sepenuhnya

KUALA LUMPUR – Gangguan bekalan letrik di beberapa buah negeri pada siang tadi berjaya dipulihkan sepenuhnya.

Tenaga Nasional Berhad (TNB) dalam kenyataan berkata, semua kawasan terjejas sejak jam 12.39 tengah hari dipulihkan pada jam 3.02 petang.

“Kebanyakan kawasan terjejas berjaya dipulihkan secara berperingkat se awal 20 minit selepas gangguan berlaku hasil usaha berterusan Pasukan Teknikal TNB.

“Siasatan TNB mendapati gangguan bekalan yang bermula pada jam 12:39 tengah hari ini berpunca daripada kerosakan di salah satu peralatan di Pencawang Masuk Utama (PMU) Yong Peng North di Yong Peng, Johor,” katanya.

Kenyataan berkata, ia mengakibatkan kehilangan beban sebanyak 2.2GW yang merupakan 10% daripada keseluruhan permintaan bekalan di Semenanjung Malaysia.

“Kami memohon maaf atas segala kesulitan yang dialami oleh pengguna semasa gangguan bekalan ini.

“Untuk sebarang pertanyaan mengenai gangguan bekalan, pengguna boleh menghubungi talian TNB Careline di 15454,” katanya.

Antara negeri terjejas ialah Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Kuala Lumpur.

 

RENTAS7

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.