Dua kumpulan pejuang Patani maut, penduduk tabik hormat

Penduduk memberikan tabik hormat ketika mengiringi jenazah ke tanah perkuburan

PATANI – Dua anggota kumpulan kemerdekaan Patani syahid selepas bertempur dengan pasukan tentera kerajaan siang tadi.

Kejadian berlaku di Kampung Ban Pao Yani Mukim Seteng dalam wilayah Yala.

Kedua-dua yang syahid dikenali sebagai Nasrulloh Ibrahim, 37 dan Nik Usman Nik Wan berusia 44 tahun.

Memetik laporan tempatan, pertempuran tercetus selepas rumah sewa didiami mereka berdua bersama beberapa anggota lain dikepung sepasukan tentera pada waktu tengah hari.

Kedua-duanya dipercayai termasuk dalam senarai individu dikehendaki tentera.

Kedua-dua syahid itu telah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pulau Gasing dan Tanah Perkuburan Islam Kampung Leaweah wilayah Patani.

Jenazah mereka diiringi ratusan penduduk malah ada yang memberi tabik hormat sebagai tanda penghormatan kepada perwira orang Melayu Patani.

RENTAS7 / FOTO: Wartani

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.